Skip to main content

Hoki

Final Piala Alagendra: Jong-hyun tekad benam bekas pasukannya

jonghyun7118.jpg
Final Kejohanan Hoki Piala Tan Sri P. Alagendra malam ini cukup beremosi buat pakar pukulan sudut penalti Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Jang Jong-hyun, apabila akan berdepan bekas pasukannya,  Terengganu Hockey Team (THT), yang diwakili sejak empat tahun lalu.

Jong-hyun melalui musim gemilang bersama THT sejak 2014, bagaimanapun dia mengambil keputusan menyertai KLHC selepas pasukan gergasi Pantai Timur itu mendapatkan khidmat pakar pukulan sudut penalti Argentina, Gonzalo Peillat.

Setakat ini, Jong-hyun sudah menjaringkan tiga gol dan dijangka mampu menjadi penentu keputusan final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, jam 8 malam ini.

"Sukar untuk berdepan bekas pasukan. Mereka pasukan yang bagus, saya menghormati mereka sebagai bekas rakan sepasukan tetapi kali ini saya ada tugas bersama pasukan baru.

"Saya akan cuba menghadiahkan kemenangan untuk KLHC," katanya.

Selain Jong-hyun, KLHC turut memiliki Muhammad Razie Abdul Rahim sebagai pakar pukulan sudut penalti.

Kapten KLHC, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, berkata final ini penting buat pasukannya kerana mereka belum pernah menjulang Piala Alagendra yang diperkenalkan sejak 2016.

"Bagi saya, ia sangat penting. Kami mahu menggenggam piala yang belum pernah kami capai. Ia adalah impian saya dan rakan sepasukan," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video