Skip to main content

Sukan Lain

Ezuan cari rentak di bawah tunjuk ajar Jang-hwan

ezuan-nasir-khan_2.jpg
Atlet menembak negara, Ezuan Nasir Khan, mengakui selesa berlatih di bawah kendalian jurulatih baru dari Korea Selatan, Cho Jang-hwan, menjelang saingan Terbuka Selangor di Lapang Sasar Subang, esok. 

Bagi Ezuan, Jang-hwan merupakan jurulatih berpengalaman yang pernah melatih skuad menembak Korea Selatan pada 2015. 

Ezuan percaya pengalaman yang dimiliki Jang-hwan mampu membawanya ke aras lebih tinggi dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April depan serta Sukan Asia Indonesia, Ogos nanti. 

Terdahulu, Ezuan dikendalikan oleh seorang lagi jurulatih Korea, Kong Hyun-ah. 

"Kami baru memulakan latihan di bawah kendaliannya tidak sampai dua bulan, banyak perubahan yang dilakukannya. 

"Kehadirannya menampakkan perubahan dari segi keputusan, kami perlu mengekalkan prestasi semasa kerana masih baru di bawah tunjuk ajarnya. 

"Kami perlu menyesuaikan diri sedikit demi sedikit," katanya. 

Dalam masa sama, Ezuan tidak meletakkan sasaran tinggi dalam Terbuka Selangor kali ini memandangkan dia akan beraksi dalam saingan 50 meter rifle prone dan 10m rifle. 

"Saya semakin dapat menyesuaikan diri dengan jaket baru. Sehingga kini, saya hanya fokus untuk meraih keputusan yang baik," tambahnya. 

Advertisement

Must Watch Video