Skip to main content

Sukan Lain

Ewart ikrar bantu pelumba tempatan

jesse-ewart_1.jpg
Pelumba import baru Team Sapura Cycling (TSC), Jesse Ewart, mahu memastikan kehadirannya dapat mengukuhkan lagi cabaran pasukan bertaraf benua itu bagi menghadapi beberapa perlumbaan penting tahun ini. 

Pelumba kelahiran Australia itu tidak mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri bersama TSC kerana dia pernah menyertai beberapa perlumbaan di Malaysia, antaranya Le Tour de Langkawi (LTdL) serta Jelajah Malaysia tahun lalu dengan pasukan dari Filipina, 7-Eleven Roadbike. 

Pengalaman itu sedikit-sebanyak memberi maklumat kepadanya mengenai selok-belok pelumba tempatan. 

"Terlebih dahulu, saya memerhati sejauh mana keupayaan pasukan ini, pegawai pasukan. Saya juga sempat menyelidik berdasarkan rakaman seperti di Youtube. 

"Saya berasa gembira dan istimewa dapat menyertai TSC," katanya. 

Selain Ewart, TSC turut diperkuatkan dengan kehadiran dua lagi import baru, iaitu Dylan Page serta Mario Vogt, masing-masing dari Switzerland dan Jerman. 

Page sudahpun menyertai sesi latihan bersama TSC manakala Vogt hanya akan tiba di Kuala Lumpur hari ini. 

TSC juga mengekalkan tiga import terdahulu, iaitu Wilmar Jahir Perez Munoz, Victor Nino Corredor serta Aiman Cahyadi. 

Jelajah Indonesia yang bermula 25 Januari ini akan menjadi cabaran sulung TSC dan Ewart menyasarkan untuk membantu pasukan itu meraih kedudukan podium. 

"Saya menetapkan beberapa sasaran dan salah satunya adalah meraih seberapa banyak kedudukan podium. 

"Sudah pasti saya menyasarkan perlumbaan yang sesuai dengan ciri-ciri saya selain menjadi anggota pasukan yang membantu perkembangan pelumba tempatan,"  katanya. 

 

Advertisement

Must Watch Video