Skip to main content

Sukan Lain

Duke harap pulih secepat mungkin

dinesh.jpg
Pemain ragbi 15 sepasukan negara, Dineshwaran Krishnan, masih mengharapkan keajaiban buat dirinya untuk pulih secepat mungkin bagi mewakili negara dalam Kejohanan Ragbi Asia Perdana, April depan selepas mengalami kecederaan patah tulang tangan kanan.

Dineshwaran atau dikenali sebagai Duke patah tulang tangan kanan ketika mewakili kelabnya, Jubilo Yamaha, menentang Panasonic Wildknights dalam Liga Ragbi Jepun.

Duke selamat kembali ke Malaysia dan telah pun menjalani rawatan Sabtu lalu di Hospital Pakar KPJ Damansara.

Laporan perubatan awal mengesahkan Duke terpaksa berehat selama lima bulan untuk proses pemulihan dan berkemungkinan terpaksa disisihkan daripada skuad kebangsaan untuk menghadapi Kejohanan Ragbi Asia Perdana, April depan.

"Skuad kebangsaan telah memberitahu kepada saya supaya tidak kecewa dengan keadaan yang berlaku. Saya berharap untuk pulih segera dan menyarung jersi skuad negara," kata Duke.

Walaupun peluangnya untuk pulih secepat mungkin agak tipis, dia akan cuba mencari ikhtiar terbaik dengan bantuan daripada pihak Institut Sukan Negara (ISN).

Namun, jika nasib tetap tidak menyebelahinya untuk bersama pasukan kebangsaan, dia mengharapkan penggantinya mampu untuk mengalas tanggungjawab membantu negara dalam kejohanan tersebut.

"Saya percaya skuad negara mampu mempamerkan persembahan terbaik. Ketiadaan saya tidak akan menjadi masalah untuk mereka mempamerkan persembahan  cemerlang," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video