Skip to main content

Hoki

Dharma sedar saingan getir menanti di Dublin

dharma.jpg
Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah, menegaskan kemaraan ke perlawanan akhir adalah satu-satunya cara untuk anak buahnya menghidupkan peluang ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila sudah dapat meramalkan lawan Malaysia dalam saingan Final Hoki Dunia yang bermula di Dublin, Jun depan.

Dharma sudah dapat menjangka laluan Malaysia dalam saingan itu nanti berdasarkan kedudukan ranking negara dan juga pencabar yang lain.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama Singapura, Republik Czech dan naib juara Piala Dunia 2018, Ireland.

Berbeza dengan situasi skuad hoki lelaki yang masih boleh bergantung dengan faktor ranking ke-14 dunia untuk layak ke pusingan kelayakan Olimpik jika gagal mara ke perlawanan akhir, Dharma tiada pilihan selain membawa pasukan untuk ke final kerana barisan anak buahnya hanya menduduki tangga ke-22 dunia.

"Walaupun ketika Piala Dunia pun, saya sudah ramalkan kumpulan kami. Saya rasa kalau tanya kepada pemain, mereka juga terkejut saya dapat ramal sehingga ke final," kata Dharma.

Dalam masa sama, jurulatih itu berbangga dengan prestasi cemerlang penjaga gol kebangsaan, Farah Ayuni Yahya, yang kini berkhidmat dengan pasukan East Grinstead dalam saingan Liga Perdana England.

Walaupun kini Ayuni tidak dapat melaporkan diri untuk berlatih dengan rakan sepasukan yang lain, Dharma optimis pemain tersebut tidak akan menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan apabila pulang dari England, April depan.

"Dia rapat dengan pemain dan sedar situasi yang dihadapi pemain saya. Dia dihantar ke sana untuk mendapat lebih banyak minit permainan tetapi dia tetap watak utama dalam pasukan kami," tambahnya. 

Advertisement

Must Watch Video