Skip to main content

Permotoran

Cub Prix: Kasma mudah pertahan gelaran CP150

cub-prix.jpg
Pelumba Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayuddin, menepati ramalan untuk muncul juara pusingan pertama saingan Cub Prix kategori Perdana CP150 sementara Tengku Amirul Haffiruddin cemerlang bagi saingan CP115.

Sebagai penyandang juara kategori CP150, Kasma bermula dengan baik apabila menguasai Litar Lumba Tangkak hari ini.

Biarpun memulakan saingan di grid kedua di belakang rakan sepasukan, Mohd Akid Aziz, Kasma berjaya memintas dan mengekalkan kedudukan tersebut sehingga tamat perlumbaan.

Dia menamatkan saingan dengan catatan masa 14 minit 54.984 saat untuk dinobatkan sebagai pemenang pusingan pertama saingan Cub Prix 2018, sambil pelumba Yamaha CKJ, Mohd Afif Amran, di tempat kedua, diikuti Mohd Hafiz Nor Azman di tempat ketiga.

"Untuk aksi hari ini, saya tidak dapat tampil dengan aksi 100 peratus kerana litar agak licin, jadi saya cuba kekalkan catatan masa dan fokus kepada perlumbaan," kata Kasma.

Sementara itu, dalam saingan CP115, Tengku Amirul yang mewakili pasukan Yamaha YY Pang menampilkan aksi unggul untuk mengetepikan pesaingnya.

Tengku Amirul menamatkan saingan dengan catatan 11 minit 45.056 saat mengatasi Ahmad Syukran Aizat dari pasukan Yamaha CKJ, manakala Mohd Haziq Fairues sekadar berpuas hati di tangga ketiga.

"Perlumbaan ini, saya sangat berpuas hati. Dalam aksi terakhir tadi, saya cuba menjarakkan diri daripada kelompok pelumba lain dan berjaya melakukannya," ujar Tengku Amirul.

Advertisement

Must Watch Video