Skip to main content

Sukan Lain

Bolt pamer aksi goyah sebelum layak ke separuh akhir

5817usainbolt.jpg
Sensasi pecut Jamaica, Usain Bolt, bangkit daripada permulaan kurang memuaskan untuk menempah slot separuh akhir meskipun sekadar tampil pelari kelapan terpantas keseluruhan dalam saringan 100 meter lelaki Kejohanan Olahraga Dunia IAAF 2017 di London.

Kemunculan juara Olimpik tiga kali, Bolt, semestinya paling dinanti-nantikan ketika dia turun beraksi buat kali terakhir dalam Kejohanan Dunia.

Turun dalam saringan keenam, Bolt bermula goyah di awal larian sebelum bangkit mengatasi cabaran pesaing lain.

Juara bertahan yang bakal bersara selepas kejohanan di London ini melakukan catatan 10.07 saat. Selain Bolt, beberapa pesaing utama turut merakam masa di atas 10 saat, antaranya pemegang catatan terpantas saingan 100m kali ini, Christian Coleman, yang memenangi saringan pembukaan menerusi catatan 10.01s.

Aksi kurang meyakinkan pula ditampilkan Yohan Blake dalam saringan kedua, dengan sekadar berakhir di belakang pelari Jepun, Abdul Hakim Sani Brown.

Catatan 10.05s pula milik pelari pecut Amerika Syarikat, Justin Gatlin, dalam saringan kelima meskipun penampilannya kurang mendapat sokongan penonton. 

Acara 100 meter lelaki menyaksikan hampir kesemua nama besar turun ke balapan kecuali Andre De Grasse dari Kanada yang menarik diri ekoran kecederaan.

Advertisement

Must Watch Video