Skip to main content

Sukan SEA

Bola sepak wanita: Peluang sudah berkubur

mas-wanita.jpg
Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita negara, Asyraaf Fong Abdullah, mengakui peluang untuk meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 terlalu tipis selepas tewas dalam dua perlawanan sebelum ini.

"Secara realitinya, kami sudah terkeluar dalam misi mengejar pingat gangsa. Apabila kalah kepada Filipina dan tewas kepada Myanmar malam ini (malam tadi),  saya anggap kami gagal dalam memburu gangsa," katanya.

Malaysia dibelasah 5-0 malam tadi, sekaligus gagal mengutip sebarang mata selepas dua perlawanan.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam, aksi babak kedua bagaikan mimpi ngeri buat skuad wanita negara apabila mudah dibolosi lima gol.

Bermula dengan gol sendiri Nur Athirah Farhanah Zairi pada minit ke-48, gawang skuad negara bocor kali kedua apabila Win Theigi Tun menemui sentuhan jaringan pada minit ke-63.

Myanmar kemudian meraih tiga tambahan gol dalam tempoh tujuh minit hasil jaringan Khin Moe Wai (m-73, 79) dan Theigi Tun (m-77).

Ini kekalahan kedua skuad negara selepas tewas 2-1 berdepan Filipina pada aksi pembukaan, Selasa lalu.

Kini tugas getir menanti skuad wanita apabila bakal berdepan Thailand pada Ahad ini, jam 8.45 malam. 

Sementara itu, kemenangan besar yang dilakar Myanmar kembali membuka ruang buat mereka untuk merebut emas.

"Kami perlu fokus untuk menentang Vietnam. Kemudian barulah kami akan lihat apa yang akan terjadi dan kilauan pingat yang boleh kami capai," ujar pengendali Myanmar, Reijners Roger Joseph.

Advertisement

Must Watch Video