Skip to main content

Sukan SEA

Bola sepak: Pemain simpanan raih pujian Kim Swee

kim-swee_1.jpg
Pengendali skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, berpuas hati dengan kelibat beberapa pemain simpanan yang diturunkan ketika menewaskan Laos 3-1 dalam aksi terakhir Kumpulan A, yang mengesahkan kemaraan barisan negara ke separuh akhir sebagai juara kumpulan.

Aksi di Stadium Shah Alam malam tadi menyaksikan Kim Swee memberi peluang kepada beberapa pemain simpanan, antaranya Muhammad Jafri Firdaus Chew dan Syahmi Safari bagi membarisi kesebelasan utama.

Kelibat mereka tidak mengecewakan, dengan Jafri turut menyumbang dua gol.

"Amirul dan Syahmi bermain dengan baik, Jafri berjaya menjaringkan dua gol serta Adib turut berjaya mencipta jaringan.

"Pemain-pemain telah mempamerkan komitmen yang tinggi. Saya perlu mencari ramuan terbaik untuk meraih kemenangan dalam perlawanan akan datang.

"Saya akan menilai setiap pemain yang cergas untuk diturunkan dalam perlawanan separuh akhir nanti," kata Kim Swee.

Kemenangan ke atas Laos turut membolehkan skuad negara meraih empat kemenangan berturut turut, menyamai rekod skuad Sukan SEA kendalian Allan Harris di Hanoi pada 2003.

Begitupun, Kim Swee tidak terlalu memikirkan rekod itu kerana fokusnya adalah memastikan kemaraan ke pentas final Sukan SEA 2017 pada 29 Ogos nanti.

"Kami tidak mahu berakhir di sini. Kami mahu meneruskan rekod kemenangan ini dan perkara paling penting adalah kami membuat persiapan untuk perlawanan (separuh akhir) Sabtu ini," tambah Kim Swee.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Kredit foto:
Facebook Football Association Malaysia (Official)

Advertisement

Must Watch Video