Skip to main content

Sukan SEA

Bola Sepak: Malaysia tidak bernasib baik

adib-zainuddin.jpg
Kapten skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, Adib Zainuddin, enggan menuding jari kepada penjaga gol, Haziq Nadzli, sebagai punca kekalahan, sebaliknya berasakan hanya nasib tidak menyebelahi pasukannya untuk menamatkan penantian enam tahun meraih pingat emas Sukan SEA.

Hasrat skuad negara mengulangi pencapaian pada Sukan SEA 2011 di Jakarta tidak kesampaian apabila tewas 1-0 menentang Thailand dalam aksi final di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee rebah di bumi sendiri hasil gol sendiri Haziq pada minit ke-39.

Namun, Adib yang mengetuai barisan pertahanan menegaskan semua pemain bertanggungjawab di atas kegagalan ini.

"Kami kena akur dengan kekalahan ini dan kami tahu kami tewas tipis kepada Thailand. Bagaimanapun, semua rakan-rakan saya telah memberikan komitmen yang terbaik. Saya berterima kasih kepada mereka,” katanya.

"Tanpa mereka, mungkin kita tidak mampu ke mana-mana."

Meskipun muncul naib juara, penyerang, N. Thanabalan, berkata pasukannya tetap berada di landasan tepat untuk menghadapi Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun di China, tahun depan.

"Kami sudah memberikan persembahan yang terbaik. Kami berpuas hati berlawan dengan Thailand, kami mengutip banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol. Kami akan buat yang lebih baik dalam Kejohanan AFC," katanya.

Thanabalan adalah antara pemain negara yang menyerlah menerusi empat gol untuk berkongsi kedudukan bersama dua pemain lain selaku penjaring terbanyak saingan Sukan SEA 2017.

Advertisement

Must Watch Video