Skip to main content

Sukan SEA

Bola keranjang: Skuad wanita lunas misi pertahan emas

bola-keranjang-wanita_2.jpg
Skuad bola keranjang wanita negara mempertahankan pingat emas acara itu dalam aksi terakhir kumpulan berdepan Thailand di Stadium MABA, hari ini.

Skuad bimbingan Yong Sze Yuin turun dengan misi mempertahankan pingat emas yang dimenangi mereka di Singapura dua tahun lalu.

Malaysia bermula cemerlang apabila mendahului suku pertama 26-17.

Bagaimanapun, Thailand mula bangkit dengan aksi agresif, sekaligus mendahului 39-35.

Ketika Malaysia kembali mengejar dan menyamakan kedudukan 49-49 dalam 10 saat terakhir suku ketiga, Yap Fook Yee berjaya mencuri dua mata selepas menerima hantaran Nurul Izzati Yaakob, lantas meletakkan skuad negara kembali mendahului perlawanan memasuki suku keempat.

Memasuki suku keempat dengan perlawanan berbaki tiga minit, kedua-dua pasukan buntu menambah jaringan dengan kedudukan 60-60 kekal satu minit 30 saat.

Tatkala masa semakin suntuk, pengadil menghadiahkan lontaran percuma kepada Malaysia ekoran pemain Thailand melakukan kekasaran terhadap shooting guard, Chong Yin Yin.

Yin Yin -- antara pemain konsisten sepanjang kejohanan -- mudah menyempurnakan lontaran kelapan dan kesembilannya malam ini daripada 11 percubaan, sekaligus meletakkan skuad negara kembali mendahului 62-60.

Eugene Ting Chiau Teng terus melebarkan jurang apabila melakukan 'lay up' dan satu lontaran percuma, lantas mengesahkan kemenangan Malaysia 65-60.

Chiau Teng muncul penjaring terbanyak negara dengan 18 mata, diikuti Yin Yin dengan 16 mata dan Yap Fook Yee, 12 mata.

Kemenangan ini memastikan skuad bola keranjang negara menamatkan kejohanan dengan rekod bersih selepas enam perlawanan dengan kemenangan 145-53 ke atas Myanmar semalam sebagai kemenangan paling besar direkodkan mereka.

Sze Yuin, dalam menyimpulkan kejayaan Malaysia, bangga dengan pencapaian anak didiknya yang mempertahankan pingat emas di halaman sendiri.

"Mereka bermain dengan penuh bersemangat  hari ini, ditambah dengan sokongan padu penonton yang melonjakkan lagi semangat juang kami.

"Hanya usaha keras dan tidak berputus asa menjadi rahsia kejayaan kami mempertahankan pingat emas ini," katanya selepas perlawanan itu.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Advertisement

Must Watch Video