Skip to main content

Sukan SEA

Bola keranjang: Singapura bukan tandingan

bola-keranjang-wanita_1.jpg
Skuad bola keranjang wanita meneruskan misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA pada hari kedua pertandingan apabila mengetepikan cabaran Singapura 74-55 di Stadium MABA, hari ini.

Selepas melakar kemenangan 88-54 ke atas Vietnam semalam, ketua jurulatih, Yoong Sze Yuin, menurunkan lima pemain berbeza hari ini apabila merehatkan pemain point guard, Nurizzati Yaakob, dan centre, K.Rajintiran.

Skuad negara mendahului babak pertama 39-22 dengan menyempurnakan 16 daripada 36 lontaran.

Malaysia meneruskan aksi konsisten dalam set ketiga apabila kekal mendahului 56-41.

Bagaimanapun, memasuki set keempat, skuad negara seakan-akan kehilangan fokus, gagal menyempurnakan tujuh percubaan berturut-turut, sekaligus membenarkan Singapura merapatkan jurang mata 56-46 menerusi Ariel Loiter Xiang Ying.

Enggan terus diberi tekanan, point guard, Chong Yin Yin, menyempurnakan lontaran tiga mata ketujuh buat skuad negara, sekaligus menyuntik kembali keyakinan.

Yin Yin turut mempamerkan persefahaman baik bersama centre, Eugene Ting Chiau Teng -- yang menamatkan perlawanan selaku penjaring terbanyak dengan 16 mata -- untuk memastikan kemenangan kedua skuad negara.

Fook Yee turut menampilkan aksi cemerlang apabila menyumbang 15 mata sementara Ooi Poh Yee dan Rajintiran -- yang dibawa masuk dalam suku kedua -- masing-masing berkongsi lapan mata.

Corak kerjasama antara pemain menjadi kunci kemenangan Malaysia hari ini apabila mengutip sejumlah 20 assist, tujuh steals dan empat block di samping melakar 38 mata di bawah jaring.

Skuad negara akan berdepan tugas getir apabila bakal turun berdepan Thailand esok.

Advertisement

Must Watch Video