Skip to main content

Sukan SEA

Berbasikal: Pelumba negara kutip emas ujian masa berpasukan lelaki

basikal-ujian-masa_1.jpg
Skuad berbasikal berpasukan lelaki meraih pingat emas dalam acara ujian masa 51 kilometer di Dataran Nilai, Negeri Sembilan, hari ini.

Diketuai pelumba berpengalaman, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi , pasukan negara -- yang turut dibarisi Nik Mohd Azwan Zulkiflie , Muhammad Ameer dan Muhammad Ameen Ahmad Kamal -- menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 1j 01:37.893 sekaligus membolot emas.

Pingat perak menjadi milik pasukan Thailand dengan catatan masa 1j 01:56.104 sementara Vietnam gangsa dengan catatan masa 1j 02:00.891.

Acara ujian masa berpasukan tidak dipertandingkandi Singapura dua tahun lalu sementara skuad berbasikal negara mengutip pingat gangsa ketika di Nay Pyi Taw, Myanmar pada 2013.

Fauzan mengakui dia menggunakan segala pengalaman yang ada bagi membantu pasukan meraih pingat emas setelah berdepan beberapa kekakangan.

"Saya dipanggil pada saat-saat akhir maka kami kesuntukan masa untuk menjalani latihan apabila hanya sempat mengadakan latihan selama dua bulan sahaja.

"Pengalaman digunakan untuk membantu rakan-rakan lain untuk memenangi emas," kata Fauzan.

Sementara itu, Azwan menjelaskan pecutan terakhir selepas pusingan U memastikan emas menjadi milik mereka.

"Saingan memang sengit dan sebelum pusingan 'u', kami mencuba habis-habisan.

"Apabila tengok catatan masa, kami sudah menang dengan Filipina dengan kelebihan satu minit bagaimanapun, dengan pasukan Indonesia masih ketinggalan 30 saat.

"Oleh itu, semasa pusingan 'U' kami cuba mengejar semula catatan dan 10km terakhir kami cuba yang terbaik untuk memperbaiki catatan masa," ujar Azwan.

Jurulatih lebuhraya berbasikal negara, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan, turut mengucapkan terima kasih kepada Fauzan kerana sanggup sertai skuad negara meskipun di saat akhir.

"Kami berterima kasih kepada Fauzan yang sanggup meninggalkan kerjanya walaupun dipanggil pada saat akhir.

"Ini kejayaan yang tidak boleh saya lupakan," kata, Hussaini.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.
 

Advertisement

Must Watch Video