Skip to main content

Sukan SEA

Berbasikal: Macam beraksi dalam Olimpik -- Azizulhasni

azizulhasni-awang-290817.jpg
Jaguh berbasikal trek, Azizulhasni Awang, menyifatkan kejayaan menyumbang pingat emas ke-111 negara sebagai kenangan terindah dalam kempen Sukan SEA sebelum mengucapkan selamat tinggal menerusi acara keirin di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini. 

Azizulhasni muncul penyumbang emas ke-111 kontinjen Malaysia selepas menewaskan rakan senegara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, dalam final acara pecut individu lelaki. 

Mereka bersaing sengit, namun Azizul menggunakan pengalaman selaku juara keirin dunia untuk dinobatkan sebagai juara. 

"Rasanya seperti beraksi dalam Sukan Olimpik. Saya amat terharu dengan semua rakyat Malaysia yang turun. Ia menghadirkan suntikan semangat untuk saya memenangi pingat emas.

"Kemenangan hari ini saya hadiahkan kepada isteri saya, sepertimana yang saya lakukan 10 tahun lalu di Korat," kata atlet yang berpangkalan di Melbourne, Australia itu. 

Kejayaan meraih 111 emas bermakna Malaysia berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), malah jauh meninggalkan negara lain dalam perebutan gelaran juara keseluruhan. 

Kejayaan edisi ini turut dikongsi skuad berbasikal trek negara. 

"Permulaan baik untuk diri saya. 

"Sejak Olimpik Rio, saya gagal mendapat pingat dalam sebarang kejohanan. 

"Ini permulaan yang baik dan diharapkan saya dapat memburu dua lagi pingat emas. Selepas ini, fokus saya terarah kepada Siri Dunia Berbasikal," kata pemenang pecut individu wanita negara, Fatehah Mustapa. 

Emas kejar mengejar individu lelaki turut digondol pelumba negara, Eiman Firdaus Mohd Zamri, yang menyimpulkan: "Saya bersyukur kerana berjaya mendapatkan emas dan tersenarai dalam 111 emas itu. 

"Saya berterima kasih kepada ahli keluarga dan rakan-rakan yang telah menyokong saya."

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.


 

Advertisement

Must Watch Video