Skip to main content

Sukan SEA

Badminton: Mei Kuan-Meng Yean mohon maaf

badminton-berpasukan-wanita.jpg
Skuad badminton wanita negara sekali lagi terpaksa akur dengan pingat perak selepas tewas 3-1 kepada Thailand dalam final acara berpasukan wanita di Arena Axiata, hari ini.

Pemain perseorangan, Soniia Cheah, tumpas kepada Busanan Ongbamrungphan dalam set pertama, 21-12.

Lawan dari Thailand itu ternyata sukar dibendung apabila Soniia terpaksa akur dengan kekalahan straight set 21-10.

Kem negara tampak berpeluang menyamakan kedudukan dalam perlawanan kedua apabila mempertaruhkan beregu wanita no.1 negara, Vivian Khoo dan Woon Khe Wei.

Malangnya, pasangan negara itu turut tewas selepas beraksi dalam tiga set.

Meskipun menang mudah dalam set pertama 21-9, mereka tidak mampu meneruskan momentum dalam set kedua dan ketiga lalu tewas 11-21, 18-21.

Seorang lagi perseorangan negara, Goh Jin Wei, kembali meniupkan peluang apabila mengutip mata pertama dengan kemenangan ke atas Nitchaon Jindapol.

Jin Wei -- bekas juara remaja dunia 2015 -- memenangi set pertama 22-20 sebelum tewas set kedua 25-23. Dia bagaimanapun bangkit dalam set ketiga, lantas menang 22-20.

Malangnya, kebangkitan Jin Wei tidak mampu diteruskan beregu kedua, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, yang tewas 12-21, 21-16, 18-21 kepada Kititharakul Jongkolphan-Prajongjai Rawinda.

"Kami mahu meminta maaf kepada rakan sepasukan dan rakyat Malaysia. Kami berharap dapat memberikan yang terbaik bagi acara seterusnya.

"Kami cuba memberikan fokus sepanjang perlawanan tanpa melihat mata yang telah diraih," kata Meng Yean.

Hanya perseorangan negara, Goh Jin Wei yang berjaya menghadirkan mata kepada Malaysia menerusi kemenangannya ke atas Nitchaon Jindapol. 

Bergelut dalam perlawanan yang cukup sengit ditambah dengan kecederaan buku lali yang baru pulih, Jin Wei tetap membuktikan prestasinya kekal di tahap terbaik.

"Saya tidak memikirkan terhadap kecederaan yang dialami oleh saya. Mereka merupakan antara pemain-pemain yang berkualiti," kata Jin Wei.

Ini merupakan kekecewaan kali kedua dalam acara berpasukan wanita Sukan SEA setelah tewas kepada lawan sama di Singapura, dua tahun lalu.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Kredit foto: Media MASOC

Advertisement

Must Watch Video