Skip to main content

Permotoran

Azlan terselamat dalam kemalangan jalan raya

azlan14818.jpg
Pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman, tetap menaruh komitmen tinggi untuk mengharungi Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini meskipun terbabit dalam kemalangan jalan raya yang serius lewat malam kelmarin.

Kemalangan itu berlaku sekitar jam 12 tengah malam di Rawang ketika Azlan dalam perjalanan pulang ke rumah.

Kenderaan yang dipandu Azlan terlanggar lori dan dia mengakui tidak dapat melihat kenderaan itu memandangkan keadaan sekeliling gelap di tempat kejadian.

Kenderaan yang dipandu Azlan mengalami kerosakan teruk, dan juara keseluruhan kelas SuperSports 600cc tahun lalu itu bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius walaupun menerima tujuh jahitan di lidahnya.

"Saya pengsan di tempat kejadian. Selepas sedar di hospital, saya tidak ingat apa yang berlaku. Saya bersyukur kerana tidak teruk, cuma lidah terkoyak sedikit," katanya. 

Ini juga adakah kali pertama Azlan terbabit dengan kemalangan jalan raya walaupun sudah beberapa kali terbabit dengan kemalangan ketika di atas litar.

Namun, Azlan tetap bersedia mengharungi saingan ARRC musim ini.

"Saya akan ke Buriram, Thailland esok. Ya, kerjaya perlu diteruskan," ujarnya.

Azlan ditemui di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) apabila tetap hadir memberi sokongan untuk program 'Impian Ke MotoGP' yang dikendalikan pelumba Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin, hari ini.

Advertisement

Must Watch Video