Skip to main content

Sukan Lain

Atlet Indonesia, Hong Kong ungguli Kejohanan Woodball Antarabangsa

woodball_1.jpg
Atlet Indonesia, Ahris Sumariyanto, menepati status selaku pemain nombor satu dunia dengan memenangi pingat emas acara tumpuan perseorangan lelaki dalam Kejohanan Woodball Terbuka Antarabangsa Malaysia di Kuala Terengganu, semalam.

Lebih manis, Ahris turut dijulang selaku pemenang bersama ‘gate in one’ bersama atlet tuan rumah, Putri Maisara Khairul Nizat.

Ahris, 29, beraksi cemerlang pada hari pertama dengan 94 pukulan, 98 pukulan di hari kedua dan 101 pukulan pada hari ketiga, sekaligus menamatkan saingan dengan 293 pukulan untuk membawa pulang pingat dan wang tunai RM1,200.

Catatan itu jauh meninggalkan pemenang pingat perak, Syed Khairuddin Syed Abdullah dari Kelab Woodball Kuala Rompin, yang mengumpul 308 pukulan keseluruhan.

Pingat gangsa menjadi milik seorang lagi atlet Indonesia, Muhamad Kadiq, yang membuat 309 pukulan sepanjang tiga hari itu.

Masing-masing terpaksa berpuas hati dengan pingat serta wang kemenangan RM1,000 dan RM800.

Acara wanita menyaksikan dominasi atlet Hong Kong, dengan pingat emas dimenangi Chung Chui Ting yang melakukan 340 pukulan keseluruhan.

Rakan senegaranya, Wong Nga Chun, di tempat kedua dengan 348 pukulan, disusuli atlet Pahang, Aniah Hassan, 358 pukulan.

Ketiga-tiga pemenang meraih pingat berserta wang RM1,200, RM1,000 dan RM800.

Kontinjen Terengganu turut berjaya membuktikan kejaguhan selepas menguasai kategori remaja dengan pungutan keseluruhan empat pingat emas, dua perak dan dua gangsa.

Empat pingat emas tuan rumah disumbangkan dalam acara perseorangan lelaki, beregu lelaki, beregu wanita dan berpasukan wanita.

Penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Pengarah, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Mohd Sabri Abas.

Turut hadir ialah Presiden Persekutuan Woodball Antarabangsa, Weng Ming-hui, Presiden Persatuan Woodball Asia, Thomas Kok, dan Presiden Persatuan Woodball Malaysia, Elaine Tan.

Advertisement

Must Watch Video