NSL
Apa kaitan NSL Malaysia dan Singapura?
Peminat bola jaring di Malaysia pastinya mengetahui Netball Super League (NSL) 2025 sudah pun melabuhkan tirainya pada 23 Mac lalu dengan KL Wildcats kembali menjulang kejuaraan selepas muncul pasukan pertama dinobat juara pada 2021.
Singapura pula ketika ini masih sibuk menjalani liga bola jaring yang berlangsung selama 5 bulan dan turut dikenali sebagai NSL tetapi ia bukanlah sesuatu yang baru kerana Netball Singapore, badan yang menyelia perkembangan sukan itu di Singapura sejak 1962, sudah mula menganjurkan liga itu pada tahun 2000 dan Malaysia pernah mempunyai wakil di NSL Singapura.
Menariknya, penyertaan wakil negara yang dikenali sebagai Malaysian Arowanas pada tahun 2010 bukan sekadar pelengkap atau memenuhi jemputan pihak penganjur semata-mata.
Iklan
Pasukan yang terdiri daripada 11 pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil dan 4 pelajar Sekolah Sukan Bandar Penawar itu bukan sahaja memberikan saingan kepada 6 lagi pasukan yang bertanding tetapi berhasil merekod aksi tanpa kalah dalam 12 perlawanan untuk muncul pasukan ditangga teratas liga.
Ini membolehkan Malaysian Arowanas mara ke final dan membuat perhitungan dengan Mighty Mannas yang turut dibarisi beberapa pemain kebangsaan Singapura, namun barisan muda Malaysian Arowanas seperti Nur Syafazliana Mohd Ali, Izyan Syazana Mohd Wazir dan Noramirah Dayana Noor Azhar langsung tidak kelihatan kerdil di hadapan lawan dan sekali lagi menundukkan Mighty Mannas tetapi kali ini dengan keputusan 49-44 untuk membawa pulang kejuaraan NSL.
Kehebatan wakil negara pada ketika itu turut diakui dengan penghargaan keatas goal shooter dengan ketinggian 186cm, Norashikin Kamal Zaman sebagai Most Valuable Player manakala Jurulatih Malaysian Arowanas, Choo Kon Lee yang sememangnya berpengalaman luas dan dihormati di rantau ini dinobatkan sebagai Most Valuable Coach.
Kini kebanyakan nama-nama yang membarisi Malaysian Arowanas ketika itu bukan sahaja masih menyerikan gelanggang NSL Malaysia, malah ada yang sudah pun berada dalam barisan kejurulatihan pasukan yang bersaing antaranya Jurulatih Terengganu Marvels, Siti Nor Farhana Mustaffa dan Penolong Jurulatih Johor Jewels, Fazira Mesnan.
Must-Watch Video