Skip to main content

Sukan Lain

Alex, Shalin mahu terus tabur bakti buat boling Malaysia

alex281217.jpg
Dua atlet paling berpengalaman dalam skuad boling kebangsaan, Alex Liew dan Shalin Zulkifli, bertekad terus membantu barisan pemain sedia ada untuk menjulang nama Malaysia dalam cabaran 2018.

Secara keseluruhan, 2017 menjadi antara tahun menyerlah buat skuad boling negara.

Antara pencapaian yang diraih termasuk merangkul tujuh pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu, di samping gelaran individu yang diraih Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Sin Li Jane dalam Siri Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) di Virginia, Amerika Syarikat, September lalu.

Malah, skuad wanita negara juga cemerlang menamatkan penantian 10 tahun untuk menjuarai Kejohanan Dunia di Las Vegas, 4 Disember lalu.

Bagi Alex, secara tidak langsung dia mengakui perlu melipatgandakan lagi usaha andai ingin terus berada dalam prestasi terbaik tahun depan.

"Semua nampaknya berada pada kelas dunia. Diharapkan kami mampu mengekalkan persembahan dalam Sukan Asia tahun depan.

"Ia juga sasaran kami. Sebenarnya, saya perlu menggandakan usaha untuk bersaing dengan pemain lebih muda," katanya.

Sementara itu, Shalin turut berpandangan skuad negara mampu terus mengekalkan rentak dengan tumpuan utama sudah pasti terarah kepada Sukan Asia di Indonesia pada Ogos nanti.

Bukan mudah untuk mengekalkan rentak konsisten, apatah lagi persaingan hebat dalam kalangan rakan sepasukan, namun Shalin menganggap itu sebahagian daripada cabaran yang perlu diharungi.

"Seperti rakan sepasukan saya yang lain, Li Jane dan Siti Safiyah, yang memenangi gelaran PWBA, ia adalah pencapaian terbaik pasukan wanita.

"Tetapi kami perlu bekerja lebih keras lagi supaya kami dapat mencapai matlamat utama dalam Sukan Asia tahun depan," ujarnya.

Advertisement

Must Watch Video