Skip to main content

Sukan Lain

Abdul Salam belum sertai latihan, Azmi serah kepada persatuan

azmi29118.jpg
Jurulatih tinju negara, Azmi Md Yunus, menyerahkan kepada Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) berhubung status penyertaan Abdul Salam Kasim yang masih belum menyertai sesi latihan untuk persiapan ke Sukan Komanwel Gold Coast, April ini.

Abdul Salam menjadi salah seorang daripada dua peninju yang terpilih untuk ke temasya sukan itu selain Muhd Fuad Muhd Redzuan.

Bagaimanapun, ketika Sukan Komanwel hanya tinggal dua bulan untuk membuka tirainya, peninju berusia 22 tahun itu belum muncul di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Keramat.

Azmi tidak pasti apa keputusan Abdul Salam, namun bersedia jika ada peninju lain muncul sebagai pengganti.

"Salam ini kami serahkan kepada persatuan dan MSN. Ia terpulang kepada mereka untuk mengekalkannya atau mencari pengganti lain.

"Saya sebagai jurulatih, siapa yang datang, saya akan latih. Kalau 'karat' datang, saya akan jadikan ia 'emas'," katanya.

Azmi terus diberi kepercayaan selaku jurulatih oleh MSN pada 19 Januari lalu bagi membuat persiapan ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Hasil kerja kerasnya, dia berjaya membawa pingat emas pertama negara selepas lapan tahun dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu. 

"Terserah kepada atlet, ia kehendak atlet. Jurulatih hanya melatih, mendorong untuk memberikan semangat. Ia bergantung kepada atlet, kalau mereka malas, tiada disiplin dan tidak berminat, jurulatih turun daripada langit pun tidak akan berjaya," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video