Juara Dunia Badminton 2022 bagi kategori beregu lelaki, Aaron Chia Teng Fong dan atlet wushu wanita Sydney Chin Sy Xuan masing-masing dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Melaka 2021/2022 dalam Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka kali Ke-38, berlangsung di sebuah hotel di Melaka pada Ahad.

Aaron Chia, menewaskan tiga lagi atlet kebangsaan iaitu Tan Zhi Yan, 22, (wushu), Jonathan Wong Guanjie,30, (menembak) dan Juwaidi Mazuki, 32, (memanah) serta Wan Muhammad Sabri Wan Mohd Zuki, 20 (muay thai).

Anak jati Batu Berendam berusia 25 tahun itu dipilih sebagai penerima anugerah utama berkenaan berdasarkan kejayaan dan pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa antaranya memenangi gangsa pada Olimpik Tokyo 2020, pingat emas Kejohanan Dunia 2022 Jepun, pingat gangsa dan emas di Sukan Komanwel 2022 Birmingham.



Sementara itu Sydney dipilih sebagai penerima anugerah utama itu atas kejayaan beliau merangkul pingat gangsa pada Sukan Sea Hanoi 2021 dalam acara ‘taijiquan’ menewaskan dua pencalonan lain iaitu atlet wushu, Tammy Tan Hui Ling, 22, dan pemain badminton Toh Ee Wei, 23.

Kedua-dua penerima anugerah tertinggi itu menerima piala pusingan, wang tunai RM3,000, trofi iringan pemenang dan sijil penghargaan menerusi wakil masing-masing yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam sambil diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Dalam pada itu, Aaron Chia turut menerima hadiah insentif wang tunai keseluruhan sebanyak RM23,000 selepas memenangi dua pingat gangsa dalam kejohanan Badminton Dunia Copenhagen, Denmark dan Temasya Sukan Asia 2023, Hangzhou China baru-baru ini.

Turut menerima insentif kemenangan Temasya Sukan Asia 2023 ialah atlet wushu Tan Cheong Min yang memenangi pingat perak sebanyak RM25,000 dan Juwaidi yang memenangi gangsa dalam acara memanah sebanyak RM15,000.

Selain itu, Olahragawati Harapan menjadi milik atlet wanita angkat berat yang memenangi pingat emas di Sukan Malaysia (Sukma) 2022 iaitu Nurul Syasa Khairina Syamsur manakala Olahragawan Harapan adalah milik atlet berbasikal, Muhammad Hafiq Mohd. Jafri.