Hafizh Syahrin Abdullah, memulakan kempen Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 dengan prestasi meyakinkan apabila menamatkan sesi latihan gabungan kategori ASB1000 di tempat ketiga di Litar Antarabangsa Mandalika, Indonesia.
Mewakili JDT Racing Team, Hafizh mencatat masa terbaik 1 minit 35.799 saat, hanya dipisahkan 0.048 saat daripada pelumba terpantas keseluruhan, Nakarin Atiratphuvapat dari Honda Racing Thailand.
Nakarin mengungguli carta dengan catatan 1:35.751 saat, manakala Keito Abe dari SDG HARC-PRO Honda Philippines berada di kedudukan kedua menerusi masa 1:35.788 saat.
Hafizh memulakan hari dengan cukup cemerlang apabila muncul pelumba terpantas dalam sesi latihan bebas pertama, sekali gus menjadi satu-satunya pelumba yang berjaya mencatat masa di bawah 1 minit 36 saat ketika itu menerusi catatan 1:35.910 saat.
Bagaimanapun, perubahan keadaan litar pada sesi kedua menyaksikan pasukan lebih memberi tumpuan kepada simulasi perlumbaan dan pengurusan tayar berbanding catatan sepusingan terpantas. Hafizh kekal mendahului sesi itu sebelum dicabar rapat oleh Nakarin dan Keito.
Dalam sesi ketiga, Nakarin berjaya melakukan catatan terpantas untuk melonjak ke tangga teratas keseluruhan, manakala Keito turut memperbaiki masa sebelum Hafizh terpaksa berpuas hati di tempat ketiga walaupun turut mencatat masa lebih pantas berbanding sesi sebelumnya.
Turut memberikan aksi konsisten ialah Muhammad Zaqhwan Zaidi dari Idemitsu Honda Racing Malaysia yang menamatkan latihan gabungan di kedudukan kelima dengan catatan 1:36.360 saat.
Keputusan itu meletakkan dua pelumba Malaysia dalam kelompok lima terbaik menjelang sesi kelayakan, sekali gus meningkatkan keyakinan kem negara untuk bersaing merebut barisan hadapan grid perlumbaan di Mandalika.