Skip to main content

Badminton

Vivian, Khe Wei raih kejuaraan sulung 2017

vivian-khe-wei.jpg
Vivian Hoo dan Woon Khe Wei semakin bersedia untuk menyambut ketibaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 setelah menumpaskan pasangan Jepun dalam final Kejohanan Terbuka New Zealand, sekaligus merangkul kejuaraan sulung tahun ini.

Sehari sebelum final, pasangan beregu kebangsaan ini telah menumpaskan pasangan dari Indonesia setelah berjuang selama 81 minit untuk bertemu dengan Ayako Sakuramoto dan Yukiko Takahata dalam final, tengah hari tadi.

Walaupun ini adalah pertemuan pertama mereka, Vivian dan Khe Wei tidak mahu memandang ringan  kebolehan pihak lawan.

Aksi dalam set pertama dikuasai pasangan Jepun itu selepas meraih kemenangan 21-18. 

Walaupun Jepun memiliki kelebihan, ia tidak dijadikan alasan buat Vivian-Khe Wei untuk mengalah, sebaliknya mereka membaiki strategi untuk memintas Ayako dan Yukiko dalam set kedua dengan keputusan 21-16.

Perlawanan diteruskan dalam set penentuan, dengan harapan Vivian dan Khe Wei untuk meraih kejuaraan bagi musim ini menjadi kenyataan apabila pertemuan mereka dengan pasangan Jepun ini berakhir dengan kemenangan 21-19.

"Dalam set ketiga, saya sedikit keletihan dan otot kaki saya sedikit cedera tetapi saya bernasib baik kerana adanya pasangan saya yang banyak memberi bantuan," ujar Khe Wei.

Sementara itu, Vivian mengucapkan terima kasih kepada penonton yang tidak henti-henti memberikan sokongan.

"Sorakan daripada penonton hari ini cukup hebat, terima kasih kerana membuatkan saya rasa seperti beraksi di laman sendiri," katanya.

Bagaimanapun, kisah berbeza berlaku terhadap beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi apabila tewas kepada pasangan Taiwan, Chen Hung Ling-Wang Chi Lin, 16-21, 18-21.
 

Advertisement

Must Watch Video