Skip to main content

Badminton

Thailand Masters milik Peng Soon, Liu Ying

1_7.jpg
Beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, menewaskan wakil tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh dan Puttita Supajirakul, 21-15, 14-21, 21-16 dalam perlawanan akhir untuk menjuarai Masters Thailand di Bangkok, hari ini.

Pilihan kelima itu mempamerkan aksi mantap bagi mengungguli set pertama 21-15, bagaimanapun mereka gagal meneruskan aksi konsisten apabila tumpas 14-21 dalam set berikutnya.

Dalam set penentuan, mereka saling kejar-mengejar mata sebelum beregu Thailand itu mula membuat kesilapan pada pertengahan perlawanan untuk membenarkan Peng Soon-Liu Ying melebarkan jurang dan menamatkan aksi 21-16. 

Ia adalah kejuaraan pertama buat pasangan negara itu selepas Liu Ying berehat bagi pemulihan kecederaan bahu.

Terdahulu, juara remaja Asia 2017 berusia 18 tahun, Leong Jun Hao, membuat penampilan pertamanya dalam Masters Thailand, namun tewas kepada juara bertahan, Tommy Sugiarto.

Jun Hao terpaksa akur dengan ketangkasan juara bertahan itu yang juga anak kepada legenda badminton Indonesia, Icuk Sugiarto, 21-16, 21-15. 

Beraksi daripada pusingan kelayakan, Jun Hao yang berada di ranking ke-215 dunia menampilkan aksi konsisten dalam perlawanan pertama.

Namun, pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2014, Tommy, pantas membaca permainan bagi mematikan langkah Jun Hao untuk menang 21-16. 

Set kedua berlangsung sengit tetapi kesilapan mudah wakil negara itu pada situasi genting memberi kelebihan kepada Tommy untuk menang 21-15, sekali gus merangkul kejuaraan pertamanya tahun ini. 

"Saya tidak menyangka dapat pergi ke final dalam kejohanan ini. Jadi, tidak fikir apa-apa, hanya tumpukan perthatian kepada pertemuan dengan Tommy. 

"Dia seorang pemain berpengalaman dan bijak mengawal perlawanan dengan membuatkan saya kepenatan. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata: "Kita lihat mereka seperti mempunyai semangat baru untuk berjuang hingga ke akhir.

"Dulu, kita kata Datuk Lee Chong Wei sahaja yang mempunyai semangat ini, kini lihat Jun Hao yang bermain daripada kelayakan mengalahkan pemain-pemain ternama hingga ke final.  

"Saya rasa ia perkembangan yang sangat baik untuk peminat badminton negara kita."

Tumpuan seterusnya ialah kepada Masters Malaysia dengan penampilan nama-nama besar seperti Datuk Lee Chong Wei, Viktor Axelsen dan Lin Dan di Arena Axiata Bukit Jalil, dari Selasa hingga Ahad depan.
 

Advertisement

Must Watch Video