Skip to main content

Badminton

Sukan SEA: Peng Soon-Yee See semakin serasi

4417pengsoon.jpg
Beregu campuran badminton negara, Chan Peng Soon dan Cheah Yee See, dilihat mampu menjadi prospek terbaik Malaysia memburu pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur selepas memperagakan prestasi cemerlang biarpun baru digandingkan kurang dua bulan. 

Gandingan mereka dibentuk Jun lalu ekoran kecederaan bahu yang dialami Goh Liu Ying sebelum menunjukkan prestasi cemerlang, terutama apabila menjuarai Terbuka Russia, bulan lalu. 

Semalam, pasangan itu mencipta kejutan dalam Terbuka New Zealand dengan menyingkirkan pilihan kedua dari Indonesia yang kini di ranking ke-32 dunia, Hafiz Faizal-Sheila Dela Aulia, dalam pusingan pertama. 

Perkembangan itu menggembirakan Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, yang melihat percaturan menggandingkan mereka berdua semakin tepat. 

"Ia satu persembahan hebat daripada mereka. 

"Mereka menewaskan pilihan kedua Terbuka New Zealand dari Indonesia dan kemenangan itu melonjakkan keyakinan mereka. 

"Ia persiapan yang baik (dalam menghadapi Sukan SEA) buat mereka, namun persaingannya pasti sengit," katanya mengenai peluang negara merebut tujuh emas yang ditawarkan dalam temasya dwitahunan itu nanti.

Bagaimanapun Riky Widianto-Richi Puspita Dili membalas dendam buat rakan senegara mereka apabila menyingkirkan Peng Soon-Yee See, hari ini. 

Sementara itu, satu lagi pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat, yang bergandingan dengan Shevon Jemie Lai, tidak gentar dengan reputasi pilihan utama Sukan SEA, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, dari Thailand. 

Dua kejayaan menewaskan pasangan itu di Thailand dan Indonesia bakal menjadi pendorong utama buat Soon Huat mencari kilauan emas dalam Sukan SEA. 

"Kami pernah menewaskan mereka dan kedua-duanya dengan keputusan straight set.

"Ia meningkatkan motivasi dan keyakinan kami untuk berdepan mereka nanti," katanya. 

Sementara itu, pemain perseorangan wanita, Ho Yen Mei, beregu utama wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei, dan Joyce Choong Wai Chi-Goh Yea Ching, serta beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, mara ke ke suku akhir Terbuka New Zealand selepas menewaskan lawan masing-masing.

Advertisement

Must Watch Video