BADMINTON
Sukan SEA: Isu Soon Huat hanya salah faham
Sebelum ini timbul kontroversi apabila wujud tuduhan terhadap salah seorang pemain badminton negara yang dikatakan melanggar arahan perintah berkurung sewaktu terlibat dengan kem perhimpunan atlit Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Hotel Renaissance.
Bagaimanapun, keadaan menjadi reda selepas pengurus pasukan badminton negara, Mat Rashid Jalil, tampil menjelaskan ia adalah salah faham di antara pengawal keselamatan yang bertugas dan pemain yang dimaksudkan, iaitu Goh Soon Huat.
Soon Huat yang juga pemain beregu campuran negara dilaporkan melakukan kesalahan tersebut Sabtu lalu, namun menjelaskan dia tidak pernah keluar daripada kawasan hotel dan hanya membuat panggilan telefon di sekitar lobi.
Iklan
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah pun memberikan amaran keras kepada Soon Huat dan tiada tindakan dikenakan terhadap pemain itu.
"Bagi saya, penjelasan yang diberikan oleh Soon Huat memuaskan hati dan boleh diterima.
"Dia hanya turun ke lobi untuk menyelesaikan masalah peribadi dan amaran telah diberikan kepadanya," kata Rashid.
Bagi Soon Huat, dia tidak menyangka perbuatannya itu akan mendatangkan impak yang besar dan bertekad tidak akan mengulanginya lagi.
"Benda itu telah terjadi tetapi saya fikir lebih baik untuk terus fokus," ujar Soon Huat.
Must-Watch Video