Skip to main content

Badminton

Ranking tidak penting, kata Rosman

rosman24118.jpg
Skuad beregu lelaki negara sedang menunggu kemas kini ranking dunia pada minggu pertama bulan depan sebelum mencongak strategi untuk Piala Thomas di Bangkok, Thailand, dari 20 hingga 27 Mei ini.

Difahamkan, ranking pada waktu itu akan menentukan kedudukan dua beregu utama negara dalam Kejohanan Berpasukan Asia yang juga kelayakan piala berprestij itu di Alor Setar, dari 6 hingga 11 Februari ini.

Ketika ini, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi adalah beregu pertama di ranking ke-22 dunia sementara Tan Wee Kiong dan Goh V Shem berada di ranking ke-24.

"Kalau dicakap ada kelebihan buat beregu negara, ya ada. Tetapi itu semua tidak penting kerana persediaan kami lebih penting. Lupakan perkara lain, fokus kepada perlawanan," kata jurulatih beregu lelaki negara, Rosman Razak.

Walau apapun aturan beregu negara nanti, kedudukan prestasi mereka lebih baik berbanding empat bulan terakhir tahun lalu.

Memberangsangkan sudah pasti Wee Kiong dan V Shem yang berupaya berfungsi di peringkat tertinggi selepas diuji dengan krisis prestasi dan perpisahan sementara.

"Pasangan itu kembali bersama dan peningkatannya sangat bagus. Memang banyak peningkatan untuk pasangan utama kita, Wee Kiong dan V Shem, tetapi masih ada ruang untuk ditingkatkan.

"Diharapkan di Kedah nanti, kedua-duanya akan mencapai prestasi terbaik," ujar Rosman lagi.

Advertisement

Must Watch Video