Skip to main content

Badminton

Piala Uber: BAM tidak berganjak perancangan awal

lee-ying-ying.jpg
Selepas barisan kejurulatihan perseorangan lelaki menyuarakan ketegasan, kini tiba giliran skuad perseorangan wanita yang turut berasakan perlu kekal dengan barisan sedia ada bagi kelayakan ke pusingan akhir Piala Uber. 

Skuad perseorangan wanita menyenaraikan Soniia Cheah, Goh Jin Wei, Lim Yin Fun dan S. Kisona bagi kempen Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, bulan depan. 

Bagaimanapun, prestasi memukau Lee Ying Ying dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia, minggu lalu, khususnya ketika bertemu bekas juara dunia, Carolina Marin, dalam suku akhir mendapat perhatian pelbagai pihak. 

Ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Sey Bock, mengakui peningkatan prestasi Ying Ying, namun berasakan adalah lebih baik untuk meneruskan perancangan asal. 

"Saya akan kekal dengan senarai nama yang diberikan sebelum ini. 

"Mungkin peluang Ying Ying adalah dalam pusingan akhir (Mei depan di Bangkok, Thailand). Buat masa ini saya akan tetap dengan barisan pemain sebelum ini," katanya. 

Susulan undian kejohanan itu, skuad lelaki dan wanita negara tetap membara untuk menamatkan saingan kumpulan sebagai juara demi mencerahkan peluang mencapai misi ke separuh akhir. 

Aspirasi itu disambut baik kepimpinan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria, apabila berkata: "Undian yang dijalankan di Alor Setar semalam adalah keputusan yang baik. 

"Namun, dalam apa jua keadaan pun, kami harus berhati-hati dengan pencabar-pencabar di peringkat kumpulan. 

"Kami harus memastikan misi menjuarai kumpulan tercapai.

"Saya harap pemain dapat memantapkan persiapan mereka, terutama aspek fizikal dan mental."

 

Advertisement

Must Watch Video