Skip to main content

Badminton

Jangan kecewa jika tidak terpilih

badminton3.jpg
"Bukan satu pengakhiran jika tidak dipilih," itu yang diungkapkan Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai, yang enggan mana-mana
pemain berasa kecewa sekiranya tidak terpilih ke Kejohanan Berpasukan Asia, bulan depan.


BAM akan menerima senarai nama pemain yang dilihat berpotensi membawa cabaran ke saingan berpasukan Asia daripada barisan jurulatih dalam mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) esok.

Barisan pemain elit sudah pasti diberi keutamaan untuk kejohanan itu yang turut menjadi kelayakan Piala Thomas dan Uber manakala mereka yang masih belum sampai pada tahap terbaik perlu lebih memberi perhatian kepada saingan bertaraf cabaran antarabangsa dan siri antarabangsa terlebih dahulu. 

Turut menjadi fokus utama dalam mesyuarat C&T itu adalah penilaian pemain yang akan dirumuskan menjelang Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

"Kami akan memilih barisan pemain terbaik untuk saingan di Alor Setar nanti. Setiap pemain memiliki sasaran dan objektif yang berbeza," kata Chin Chai.

Beliau yang dilantik selaku pengurus pasukan ke Piala Thomas tidak menolak sasaran realistik diletakkan untuk kejohanan di Kedah nanti bagi mara ke separuh akhir.

Cabaran yang menanti skuad negara bukan sahaja dari China, sebaliknya Thailand, Indonesia dan India yang sudah mula mempamerkan peningkatan daripada pemain muda mereka.

"Harapan kami adalah untuk layak ke separuh akhir saingan tersebut, sekaligus memastikan tempat ke Piala Thomas dan Uber," tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video