Skip to main content

Badminton

Iskandar tekad balas kepercayaan

iskandar25118.jpg
Perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, mahu membalas kepercayaan ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek, yang mempertahankan barisan pemain untuk Kejohanan Badminton Berpasukan Asia biarpun mempamer aksi longlai dalam Masters Malaysia, minggu lalu.

Misbun mengekalkan barisan pemain bagi menghadapi kejohanan yang juga kelayakan Piala Thomas di Alor Setar itu bulan depan meskipun terdapat gesaan untuk merombak skuad selepas aksi hambar Iskandar dan Soong Joo Ven.

Terharu dengan kepercayaan Misbun itu, Iskandar bertekad untuk melenyapkan segala keraguan mengenai slotnya dalam skuad kelayakan Piala Thomas dengan aksi cemerlang dalam Terbuka India bermula Selasa depan.

"Memang ada rasa tekanan. Saya perlu menyesuaikan diri dengan cepat. Kalau tidak, ia boleh menjejaskan prestasi saya," katanya.

Sementara itu, dalam saingan perseorangan wanita, peningkatan yang dipamerkan setiap individu dalam pasukan kebangsaan menghadirkan persaingan sengit sesama mereka dalam memikat hati jurulatih, Datuk Tey Seu Bock.

S. Kisona, yang disenaraikan ke Alor Setar untuk berpasukan wanita, melihat peningkatan skuad wanita sebagai satu perkembangan baik.

"Kalau saya diberi peluang bermain, saya akan merebutnya. Saya tidak sabar membantu menghadiahkan mata untuk pasukan kerana ia diadakan di Malaysia.

"Bagaimanapun, keputusan jurulatih sangat penting, tidak kisah siapa yang bermain," ujarnya.

Advertisement

Must Watch Video