Skip to main content

Badminton

Badminton Berpasukan Asia: Zakry terkejut Boon Heong tercicir

zakry71118.jpg
Bekas pemain beregu lelaki negara, Mohd Zakry Abdul Latif, gusar dengan ketiadaan elemen kejutan dalam barisan beregu yang ditampilkan Malaysia dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah dari 6 hingga 11 Februari depan.

Zakry, yang membarisi skuad Piala Thomas 2010 negara, berpandangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terlepas peluang dengan tidak menyenaraikan sekurang-kurangnya seorang pemain profesional.

Nama yang meniti di bibir Zakry adalah Tan Boon Heong yang dirasakan berupaya digandingkan dengan mana-mana pemain untuk mempelbagaikan strategi ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit, dalam kejohanan yang juga kelayakan Piala Thomas dan Piala Uber itu.

"Apabila bawa pemain muda, mereka tidak mahu tekanan tinggi. Selalunya, kalau dalam Piala Thomas, kita akan mencari pemain berpengalaman. Saya pun agak terkejut Boon Heong tidak termasuk dalam skuad. 

"Mungkin mereka mempunyai perancangan. Saya harap mereka layak ke pusingan akhir," katanya.

Bagaimanapun, Zakry lega melihat Goh V Shem dan Tan Wee Kiong kembali digandingkan selepas dipisahkan untuk beberapa bulan ekoran kemelut prestasi.

Berdasarkan pengalaman sebagai bekas pemain yang pernah melalui situasi sama, dia menegaskan akan terbit sesuatu yang positif apabila mereka mengetuai cabaran Malaysia nanti.

"Bagi saya, itu yang terbaik. Dalam situasi seperti ini, kita memerlukan beregu yang kuat. V Shem dan Wee Kiong adalah gandingan yang berpengalaman.

"Saya harap mereka boleh melakukan sesuatu. Apabila bermain dalam kejohanan berpasukan ini, tekanannya tinggi," ujarnya.

Senarai beregu negara:

Beregu lelaki:
• Goh V Shem-Tan Wee Kiong
• Teo Ee Yi-Ong Yew Sin
• Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani

Beregu wanita:
• Vivian Hoo Kah Mun-Janice Woon Khe Wei
• Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean
• Goh Yea Ching-Yap Cheng Wen

Advertisement

Must Watch Video