Skip to main content

Rencana

Zinedine Zidane: Sebuah potret abad ke-21

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

zinedinezidane-cropped_66qa87h0cjj11c1s4ucmmzsrp.jpg

Mungkin ini pendapat peribadi, tetapi sejujurnya, agak sukar untuk menyangkal pandangan yang menyatakan Zinedine Zidane adalah antara figura penting dalam bola sepak abad ke-21.

Khamis lalu, menerusi program Berbulu Dengan Burn yang bersiaran secara langsung di Astro Arena,  seorang pemanggil berkongsi pendapat bahawa tahun ini akan menyaksikan Real Madrid kembali mendominasi La Liga, dan semuanya kerana sentuhan ajaib Zinedine Zidane. Banyak juga maklumbalas lain yang diterima tentang bagaimana Zidane merencana kebangkitan Los Blancos setelah kembali ke kelab itu pada Mac tahun lalu.

Advertisement

Baik dari zaman bermain, sehinggalah kini dengan karier sebagai jurulatih, Zidane seolah menyuntik satu lenggok yang gemalai dalam setiap gerakan, samada di atas padang, ataupun di papan taktikal. Imbas sahaja pada memori 1998, tatkala pasukan Perancis dibelenggu dengan persepsi permainan dan barisan pemain yang agak banal, Zizou seolah satu kurniaan dari Tuhan kepada permainan bola sepak secara amnya. Menyaksikan Zidane bermain, seolah menjadi penonton kepada suatu persembahan seni yang penuh estetik dan makna.

Seperti melihat seorang artis sedang berkarya.

Pada tahun 2006, sebuah dokumentari bertajuk Zidane : A 21st Century Portrait diterbitkan, berkisar tentang pemain kelahiran Marseille ini. Namun, filem ini bukanlah menceritakan sejarah atau biografi Zidane. Selama durasi 91 minit, filem ini menumpukan kepada bagaimana corak permainan beliau di atas padang, menggunakan 17 kamera yang merakam setiap gerakan Zidane ketika perlawanan di antara Real Madrid menentang Villareal pada 23 April 2005, di Santiago Bernabeu.

Malah, filem ini diterajui oleh Douglas Gordon dan Philippe Parreno, dua seniman yang bukannya pengarah filem, tetapi penggiat seni terkemuka di Eropah. Mungkin seni yang ditampilkan oleh Zidane menerusi corak permainan beliau terlalu abstrak untuk diterjemahkan kepada bahasa perfileman biasa, sehingga memerlukan dua ahli seni yang lebih terkenal dengan pertunjukan dan karya seni halus mereka.

Dalam menyiapkan filem ini, salah satu elemen penting bagi Douglas dan Philippe adalah irama dan lagu latar bagi memberi gambaran dan makna bagi setiap babak dan aksi Zizou. Mereka memilih Mogwai, sebuah kumpulan muzik Post-Rock dari Scotland yang terkenal dengan muzik rock instrumental ala avant-garde untuk menghasilkan runut bunyi filem ini, setelah mereka bereksperimentasi dengan lagu 'Mogwai Fear Satan', dipadankan dengan suntingan awal filem tersebut.  Bagi mereka, seni Zidane hanya akan diberi keadilan sekiranya dipadankan dengan latar muzik yang rumit dan kompleks.

Bahkan, bagi Mogwai sendiri, menerusi pengakuan gitaris utama mereka, Stuart Braithwaite, bahawa adalah mustahil untuk minda Zidane dizahirkan menerusi muzik kerana Zidane sendiri seakan makhluk dari dunia yang berbeza!

Agak jelas bahawa Zinedine Zidane akan kekal sebagai satu fenomena dalam sejarah sukan bola sepak.

Bak hujan meteor, fenomena ini adalah sesuatu yang istimewa, dan seakan suatu keraian setiap kali ianya berlaku.

Tidak keterlaluan jika mengatakan, Zizou bukan sahaja satu fenomena, malah boleh diibaratkan sebagai suatu karya seni dari Yang Maha Agung kepada sukan bola sepak dan semua pencintanya.

Must Watch Video