Skip to main content

Rencana

TNB : Kualiti pemain tempatan

z-tnb.jpg
Saya sempat bertukar pandangan dengan beberapa pengulas Astro Arena mengenai nasib pasukan yang tidak menggunakan khidmat pemain import dalam Liga Hoki Malaysia 2018.

Ada yang bimbang pasukan itu akan jadi skuad belasahan kerana 24 pemain import yang datang ke Malaysia berkualiti tinggi seperti Gonzalo Peillat (Terengganu Hockey Team), Tim Deavin (Kelab Hoki Kuala Lumpur) dan David Harte (Universiti Kuala Lumpur).

Tetapi, kita perlu ingat bahawa pemain tempatan juga berkualiti tinggi.

Tenaga Nasional Berhad dan pasukan adik mereka, TNB Thunderbolts kekal dengan pendekatan tidak menggunakan pemain import namun apa yang menarik, mereka mampu mencabar gergasi.

TNB muncul pendahulu Liga Perdana dengan menumbangkan UNIKL dan KLHC, dua pasukan yang diramal mendominasi LHM musim ini.

Antara pemain yang mencuri tumpuan, pakar pukulan sudut penalti, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan.

Pertahanan itu tidak popular seperti Shahril Saabah yang lebih senior dan berada dalam skuad kebangsaan. Tetapi, awal musim ini lebih berpihak kepada Syafiq apabila meledak dua gol selepas dua perlawanan.

Mereka juga memiliki rangkaian penyerang berbisa kebangsaan seperti Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, Firhan Ashaari, Mohd Ramadan Rosli dan Nik Mohd Aiman Nik Rozemi  yang mampu menjaringkan gol padang.

Sebelum musim 2018 bermula, saya bimbang mengenai kekebalan pintu gol TNB kerana S Kumar digantung ekoran positif bahan terlarang.

Penjaga gol simpanan skuad negara, Mohd Hairi Abd Rahman dinaikkan pangkat  daripada TNB Thunderbolts dan setakat ini, dia menjalankan tugas dengan baik.

Saya fikir, dia calon serius untuk mencabar Mohd Hafizuddin Othman (THT) dalam perebutan benteng terakhir negara jika Kumar digantung untuk tempoh lama.

Perhatikan juga pengendali mereka, Nor Saiful Zaini.

Beberapa tahun lalu, saya kerap mempertikaikan corak permainan bertahan ketika beliau berada dalam barisan kejurulatihan kebangsaan. Ia corak yang tidak sesuai di pentas antarabangsa terutama berdepan pasukan Eropah.

Tetapi saya harus memujinya kerana dalam LHM, beliau berjaya mewujudkan ramuan terbaik menggandingkan pemain senior kebangsaan dan pendatang baru hasil asuhan projek Thunderbolts TNB.

Setakat ini, TNB satu-satunya kelab tempatan sejati yang mampu mencabar bintang import LHM. 

Semoga mereka melalui musim yang cemerlang, apatah lagi pihak pengurusan TNB mengekalkan tajaan RM4 juta ringgit kepada Konfederasi Hoki Malaysia, musim ini.

Advertisement

Must Watch Video