Skip to main content

Rencana

Siapa langkah kanan? Sathia atau Mehmet?

060117-b-sathianathan.jpg

Jika minggu lalu saingan Liga Malaysia dirancakkan dengan pertembungan kembar Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Radzak, minggu ini peminat bola sepak tempatan akan disajikan dengan perhitungan dua jurulatih berpengaruh B. Sathianathan dan Mehmet Durakovic.

Sememangnya, pertemuan di Jengka itu malam menarik untuk disaksikan memandangkan ia menjadi ujian sulung buat Sathianathan selaku pengendali baru Felda United dan Mehmet, jurulatih baru Perak.

Apatah lagi, kedua-duanya hadir dengan reputasi hebat bersama pasukan terdahulu tatkala pasukan masing-masing kini juga dambakan kemenangan terutama tuan rumah The Fighters yang kemarau kemenangan sejak Januari lalu.

Siapa yang bermula langkah kanan? Persoalan itu hanya akan terjawab pada malam Sabtu. Namun, berdasarkan situasi semasa tekanan tampak dirasai Mehmet susulan kehadirannya ke Perak mencetuskan kontroversi.

Jurulatih yang membantu Selangor mencapai misi 33 Piala Malaysia pada 2015 itu menggantikan tempat Karl Heinz-Weigang ketika prestasi The Bos Gaurus berada pada tahap memuaskan.

Mengharungi lima perlawanan, mereka hanya tewas sekali di samping mencatat tiga kemenangan dan satu keputusan seri untuk berada di kedudukan ketiga liga dan hanya dipisahkan satu mata dengan pendahulu, Kedah yang mengumpul 11 mata.

Mehmet jelas tiada pilihan selain memastikan keputusan positif buat Perak di Jengka untuk mengelak daripada kritikan oleh penyokong pasukan itu yang rata-ratanya kurang gembira dengan perubahan tersebut.

Namun, mungkin kelibat Mehmet mampu memberi impak berbeza kepada skuad Perak untuk mencapai kejayaan. Keupayaannya telah terbukti bersama Gergasi Merah Kuning walaupun tidak mempunyai ramai pemain berstatus bintang.

Jadi, berdasarkan reputasinya bekas pertahanan Selangor itu wajar diberikan peluang untuk mengendalikan Perak. Cuma, adalah lebih baik jika perlantikan ini dibuat sebelum sepak mula Liga M, musim ini.

Begitu juga dengan Sathianathan untuk pasukan Felda kerana jika beliau hadir lebih awal, mungkin pasukan ini dapat membentuk skuad yang lebih ampuh untuk mengharungi cabaran musim ini dan kempen Piala AFC.

Advertisement

Must Watch Video