Skip to main content

Rencana

Siapa Johnathan di mata Zylane

zylane.jpg
Kelibat atlet renang berirama, Lee Yhing Huey, atau juga dikenali sebagai Zylane Lee bersama penembak negara, Johnathan Wong, menarik perhatian orang ramai di Pusat Akuatik Nasional pada Khamis.

Keakraban kedua-dua atlet negara ini turut menarik minat lensa krew Nadi Arena untuk merakam dengan lebih jelas bagi mengetahui lebih lanjut sejauh mana persahabatan mereka.

Johnathan yang merupakan atlet menembak negara antara individu terawal yang cuba memujuk Zylane tatkala gadis cantik ini menahan rasa, ekoran kekecewaannya dalam final rutin solo bebas pada Khamis. 

Zylane yang sekadar meraih perak gagal menepati pilihan di atas kertas apabila pencabar dari Singapura, Debbie Loh, miliki catatan lebih baik dengan hanya berkelebihan 0.3 mata sahaja di hadapannya.

Pada satu sudut yang lebih terlindung Johnathan jelas memujuk Zylane agar lebih bertenang menerima keputusan bagi acara pertamanya untuk renang berirama apatah lagi peluang mengutip emas masih terbuka bersama pemegang emas rutin solo teknikal, Gan Hua Wei, yang juga merupakan pasangan Zylane bagi acara duet nanti.

Walau apa pun status keakraban kedua-dua atlet negara ini, kedua-duanya tampak serasi bersama namun dalam masa yang sama diharap mereka terus konsisten menyumbang kejayaan buat Malaysia yang kini berada dalam misi mengejar sasaran 111 pingat emas bagi saingan Kuala Lumpur 2017.

Jangan marah Zylane & Johnathan, usik sikit je.

Advertisement

Must Watch Video