Skip to main content

Rencana

Sasaran 111 emas, mengimbau gemilang 2001

marina-chin-100817.jpg
Selepas buat persiapan rapi sejak dua tahun lalu, akhirnya Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan 111 pingat emas sebagai sasaran Malaysia ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Ia menyamai pencapaian 16 tahun lalu ketika Malaysia muncul juara keseluruhan Sukan SEA buat kali pertama dalam sejarah.

Ini bermakna, Malaysia menetapkan sasaran paling tinggi dalam kalangan 11 negara bertanding dengan Thailand selaku pencabar terdekat selepas mengumumkan sasaran 100 emas dengan harapan dapat mempertahankan kejuaraan mereka.

"Tidak mustahil Malaysia mampu capai sasaran dan muncul juara keseluruhan."

"Ini sasaran yang unik. 16 tahun lalu Malaysia muncul juara dengan jumlah itu."

Itu antara komen netizen mengulas sasaran rasmi Malaysia.

Ternyata, ramai yang yakin dengan kemampuan atlit Malaysia terutama dengan kehadiran tiga juara dunia, Azizulhasni Awang (basikal trek), Mohd Al Jufferi Jamari (silat) dan Cheong Jun Hoong (terjun).

Itu belum dicampur lagi juara olahraga Paralimpik dunia, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abd Latif Romly.

Bagaimana pula dengan aura Pandelela Rinong (terjun), Loh Jack Chang (wushu), Syakila Salni Jefry Krishnan (karate), skuad hoki negara dan Khairul Hafiz Jantan yang buru gelaran lelaki terpantas Asia Tenggara?

Ternyata kontinjen ini yang terkuat pernah dimiliki Malaysia, bukan saja untuk mencabar 405 acara Sukan SEA, malah mampu menggegar Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mengimbau pencapaian sejak edisi pertama 1959, Thailand selaku gergasi Sukan SEA apabila 13 kali muncul juara keseluruhan diikuti Indonesia (sembilan), Myanmar (dua kali), Malaysia, Vietnam dan Filipina pula hanya mengecapi sekali kejuaraan.

Jika misi 111 emas tercapai dan bergelar juara keseluruhan, bermakna Malaysia berpeluang memintas Myanmar di tangga ketiga senarai negara paling berjaya.

Jalur Gemilang sudah diserahkan, atlet-atlet negara tiada pilihan kecuali mencapai sasaran 111 emas.

Ayuh Malaysia, kita gegar Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
 

Advertisement

Must Watch Video