Wayne Rooney kembali ke Everton selepas 13 tahun meninggalkan kelab asalnya itu untuk bermain di Manchester United.
Pada 2004, Rooney membuat permintaan untuk keluar daripada Everton sebelum ditandatangani United yang di bawah bimbingan Sir Alex Ferguson.
Rooney mengecap pelbagai kejayaan bersama United dengan menyumbang 183 gol dalam 393 penampilan sepanjang tempohnya di kelab itu sejak berusia 18 tahun.
United turut menjadi pemangkin kerjaya Rooney di pentas antarabangsa walaupun pada ketika England tidak mengecap apa-apa kejayaan di peringkat Eropah mahupun dunia.
Rooney dibanggakan menerusi rekod penjaring terbanyak England sepanjang zaman dengan 53 gol dalam 119 penampilan antarabangsa, mengatasi Bobby Charlton (49 gol), Gary Lineker (48 gol), Jimmy Greaves (44 gol) dan Michael Owen (40 gol).
Penyerang berusia 31 tahun itu diistilahkan sebagai pemain ikon United buat masa ini apabila menjadi tonggak paling lama yang masih bermain di Old Trafford.
Bagaimanapun, hari ini Rooney merosakkan segala reputasi baiknya di United dengan berkata dia memakai baju tidur Everton selama 13 tahun.
"Saya mendiamkan diri sejak 13 tahun lalu tetapi sebenarnya saya memakai pijama Everton bersama anak-anak di rumah," kata Rooney selepas sah menyertai Everton, hari ini.
"Sepanjang musim panas, saya menilai di mana destinasi saya selepas ini. Saya bercakap dengan ejen saya dan berkata: 'Dengar, kamu perlu bercakap dengan Everton, lihat jika ia boleh berlaku'.
"Memenangi trofi dengan Everton akan menjadi kemuncak. Saya benar-benar berasakan kelab itu membawa masuk pemain yang layak. Kami pasti mampu memenangi salah satu piala."
Ia satu pengakuan Rooney yang mengkhianati United selama 13 tahun dan dianggap sebagai tidak menghormati bekas pasukannya itu.
Kata-katanya itu juga memberi maksud United tidak berada di hatinya walaupun sudah bermain dengan kelab itu selama 13 tahun.