Skip to main content

Rencana

Rentak, momentum dah boleh diatur...

liga-super-logo156cc10a3d81604aa734ff0000212b38.png

Setelah mengharungi tiga perlawanan awal, biasanya kita sudah boleh menilai pasukan mana yang akan meneruskan rentak menang, kalah atau seri. 

Menjadi kebiasaan, alasan yang akan diberikan oleh rata-rata pihak pengurusan atau ketua jurulatih kepada penyokong ialah untuk memberikan masa sehingga selesai perlawanan yang ketiga. 

Ini amat penting untuk membuat penilaian daripada aspek permainan taktikal, pengurusan dan kecergasan pemain dalam perlawanan dan yang paling penting, tahap pemain import – sama ada membantu pasukan itu sendiri atau sebaliknya.

Pahang, Perak, Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika ini dilihat lebih selesa dengan kedudukan mereka.

Konsistensi di dalam keputusan perlawanan adalah lebih penting jika dibandingkan dengan bilangan jaringan dalam setiap perlawanan. 

Bilangan jaringan gol tidak diberikan perhatian tetapi fokus adalah lebih kepada kutipan mata daripada tiga perlawanan pertama.

Dalam kelompok pertengahan, pasukan yang masih mencari rentak serta momentum permainan berpasukan dilihat lebih kepada Selangor, Felda United, T-Team, Kelantan dan juga Melaka yang perlu bangkit segera supaya menepati reputasi mereka sebagai pasukan yang dianggap akan memberikan cabaran.

Sarawak dan Pulau Pinang perlu turut melonjak supaya apa yang berlaku tidak akan merencatkan kedudukan mereka di dalam liga ini. 

Pulau Pinang satu-satunya pasukan yang tewas tiga kali berturut-turut -- menggambarkan pasukan ini seolah-olah mengalami masalah pengurusan, apatah lagi dengan kes jurulatihnya, Ashley Westwood, yang digantung empat perlawanan. 

Bantuan pemain import yang diharapkan juga tidak berhasil. Strategi menggunakan tenaga pemain muda untuk melakukan serangan atau menjaringkan gol tidak menjadi kerana kurang pengalaman. 

Pulau Pinang gagal menjaringkan sebarang gol dalam tiga perlawanan berturut-turut sebagai mengambarkan jentera serangan pasukan ini amat lemah walaupun mereka ada pemenang Anugerah Puskas tetapi itu lebih kepada individu, bukannya daripada aspek corak permainan berpasukan.

Tetapi ada juga perkara positif yang boleh diambil kira. Jentera serangan Pulau Pinang ada tenaga muda yang akan menjadi taruhan yang baik jika mereka ini masih bermain bersama dalam jangka masa dua hingga tiga tahun lagi.

Apapun, kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku setelah kesemua pasukan selesai melepasi tiga perlawanan awal ini kerana segala keputusan akan cuba dijawab oleh setiap jurulatih.

Kedudukan sebenar pasukan akan hanya dapat dilihat setelah perlawanan keempat dan kelima yang pasti akan mengubah kedudukan dalam liga. 

Dari situ, kita akan melihat siapakah yang akan dapat meneruskan rentak sehingga ke penghujung liga nanti.

Advertisement

Must Watch Video