Skip to main content

Rencana

Rekod Wenger Sukar Ditandingi

wenger-290517.jpg
Perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) antara West Bromwich Albion dan Arsenal pada 31 Disember 2017 memberikan makna yang tersendiri buat pengurus The Gunners, Arsene Wenger.

Ini kerana dia mencatat rekod baharu iaitu perlawanan ke-811 dalam karier sebagai pengurus dalam saingan EPL, memintas rekod 810 perlawanan yang dilakukan oleh legenda pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson.

Secara kebetulan, Ferguson turut mencatat jumlah itu ketika aksi menentang West Bromwich Albion pada musim 2012/2013 sebelum dia umumkan persaraan dari arena bola sepak.

Pencapaian ini sesuatu yang sukar untuk disaksikan apatah lagi sudah menjadi kebiasaan buat sesebuah kelab untuk menukar pengurus mereka selepas beberapa musim.

Wenger yang menyertai Arsenal pada 1996 pastinya tidak menduga dapat meraih pencapaian ini apatah lagi sejak beberapa musim kebelakangan ini dia turut didesak untuk melepaskan jawatan susulan persembahan kurang menjadi oleh kelab London itu.

Namun rekod ini membuktikan Wenger berada dalam kelas yang tersendiri meskipun jika bilangan trofi dibandingkan bersama Ferguson sepanjang jumlah perlawanan dijadikan ukuran, masih wujud jurang yang besar.

Secara keseluruhan, Wenger memenangi tiga gelaran EPL di samping tujuh kali menjuarai saingan Piala FA Inggeris.

Tentunya paling diingati musim 2003/2004 di mana skuad The Gunners kendalian Wenger ketika itu berjaya menamatkan cabaran selaku juara tanpa alami sebarang kekalahan sehingga mendapat jolokan "Invicibles".

Tidak dinafikan kehadiran Wenger ke kancah saingan EPL banyak mengubah lanskap pertandingan itu dan rekod yang dipegangnya kini menjadi satu legasi yang sukar ditandingi mana-mana pengurus lain ketika ini.

Advertisement

Must Watch Video