Skip to main content

Rencana

Pingat emas bergaya

29817hokiwanitamalaysia.jpg
Skuad wanita negara kekal status jaguh hoki Asia Tenggara apabila mereka menewaskan Thailand 2-0 dalam perlawanan akhir Sukan SEA KL 2017 di Stadium Hoki Nasional, semalam.

Dengan kemenangan ini, skuad wanita negara berjaya mempertahankan pingat emas yang telah mereka menangi dalam enam edisi sebelum ini, tetmasuk di Singapura 2015 dengan menewaskan lawan yang sama 3-1.

Sepanjang sejarah penyertaan skuad wanita negara dalam Sukan SEA, hanya dua kali mereka gagal memenangi emas, iaitu dua edisi pertama hoki wanita dipertandingkan pada tahun 1993 di Singapura dan 1995 di Chiangmai.

Di peringkat pusingan round robin, skuad wanita negara menewaskan Thailand 3-0. 

Seperti sudah dijangka, Thailand turun dengan strategi berbeza berbekalkan pengalaman mereka ketika tewas dalam pusingan round robin di tangan Malaysia. 

Sebaik sahaja wisel ditiupkan, mereka menerapkan corak bertahan yang lebih berdisplin dan tersusun – dengan meletakkan pemain tambahan di bahagian midfield dan hanya menggunakan dua penyerang.

Ini sungguh menyukarkan pemain-pemain negara untuk melakukan ‘circle penetration’, apatah lagi melakukan jaringan. Bahagian midfield gagal menerima bola dan menyusun gerakan menyerang selancar biasa.

Tiga suku pertama tanpa jaringan, dengan skuad negara menguasai permainan. 

Tiga pukulan sudut penalti juga gagal disudahkan oleh Siti Noor Amarina Ruhani dan Nuraini Abdul Rashid. 

Beberapa peluang gol padang juga gagal disudahkan oleh penyerang negara, terutama Hanis Nadiah Onn, Wan Norfaezah, Fatin Shafikah serta penyerang yang lain.

Situasi genting skuad negara yang belum mendapat jaringan sehingga tamat suku ketiga juga kerana ketangkasan penjaga gol Thailand, Siraya Yinkrajang, yang banyak menyelamatkan percubaan daripada skuad negara.

Hanis Nadiah menggamatkan Stadium Hoki Nasional apabika menjaringkan gol pertama negara pada minit ke-46 dan seminit selepas itu, Nuraini Abd Rashid menjaringkan gol kedua seterusnya meranapkan impian Thailand untuk cuba bertahan sehingga wisel penamat untuk mengheret permainan ke penentuan pukulan penalti.

Apa yang menakjubkan tentang emas yang dimenangi oleh skuad wanita adalah laluan emas mereka tanpa dibolosi sebarang gol.

Buat pertama kalinya dalam penyertaan Sukan SEA, baik buat skuad lelaki mahupun wanita, laluan memenangi pingat emas adalah dengan rekod bersih. Rekod ini akan terpahat dalam sejarah hoki Malaysia.

Syabas kepada skuad hoki wanita negara dalam menghadiahkan emas ke-106 kepada kontinjen negara.

Selepas ini, misi mereka adalah cuba untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 menerusi Kejohanan Piala Asia yang akan diadakan di Jepun, November ini.

Pasti ada yang perlu diperbaiki dan dipertingkkatkan lagi oleh jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dan pemain-pemain kerana lawan kita nanti dalam  Piala Asia lebih hebat daripada lawan di sini. 

Jadikan kejayaan dalam Sukan SEA ini sebagai pemangkin dan pencetus untuk mencapai objektif seterusnya.

Kepada Muhammad Dhaarma Raj dan pemain, kami bangga dengan anda. Selamat Maju Jaya.

Gambar: Majlis Sukan Negara Malaysia
 

Advertisement

Must Watch Video