"Luar padang kami adik beradik, atas padang kami musuh!", demikian reaksi pasangan kembar Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Radzak.
Ini berikutan pasukan yang diwakili masing-masing akan berentap untuk aksi Liga Super pada Sabtu membabitkan pertemuan Perak dan Johor Darul Takzim di Stadium Perak, Ipoh.
Aidil selaku tonggak pertahanan pasukan gergasi tanahair, JDT buat kali pertamanya berhadapan dengan kembarnya Zaquan yang kini merupakan sandaran baru The Bos Gaurus musim ini.
Kedua-duanya ketika ditemui penulis mengakui berasa janggal dengan situasi yang mereka alami kini kerana tidak pernah menjadi lawan antara satu sama lain sejak bergelar pemain profesional mahupun ketika zaman remaja.
Menyorot kembali perjalanan karier pasangan kembar seiras dari Seremban, Negeri Sembilan ini, Aidil dan Zaquan memulakan kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional pada 2006 untuk tempoh enam tahun bersama skuad Hobin Jang Hobin.
Produk Sekolah Sukan Bukit Jalil SSBJ itu kemudian berhijrah ke pasukan Angkatan Tentera Malaysia ATM pada 2012 sebelum menyertai JDT pada 2013. Namun, mereka telah dipisahkan pada 2014 susulan Zaquan diturunkan ke JDT II.
Meskipun berlainan pasukan, kedua-duanya tidak pernah bertemu sesama sendiri dalam tempoh tiga tahun sehingga penghijrahan Zaquan ke Perak musim ini memaksa situasi itu terjadi sekiranya mereka diturunkan pada Sabtu.
Berdasarkan percaturan taktikal jurulatih kedua-dua pasukan, Aidil tampak kembali mengemudi benteng akhir JDT selepas dilapor sudah cergas sepenuhnya tatkala Zaquan bakal dipertaruhkan dalam kesebelasan utama skuad Perak.
Namun, persoalannya mampukah adik atasi abang? atau abang kekang asakan adik? Persoalan itu hanya akan terjawab pada malam Sabtu walaupun kebiasaannya adik akan menang kerana abang beralah.
Pertembungan kembar adik-abang jadi tumpuan, sama-sama kita nantikan.
Rencana