Skip to main content

Rencana

Pemain Spurs paling ramai jadi sasaran

cover-spurs.jpg
Jendela perpindahan pertengahan musim yang telah pun dibuka pada Januari dikejutkan dengan penghijrahan Philippe Countinho dari Anfield ke Camp Nou, namun Dayang sejujurnya merasakan akan ada lagi beberapa perpindahan yang melibatkan pemain bintang bakal terjadi.

Paling mencuri tumpuan tentunya penyerang Tottenham Hotspurs, Harry Kane, yang sedang diintai beberapa kelab besar. Prestasi memberangsangkan yang dipamerkan Kane ternyata menarik minat kelab gergasi eropah untuk cuba mendapatkannya. Mesin gol Spurs itu juga hanya menerima gaji mingguan kecil dan ini tentunya memberikan kelebihan bagi kelab yang mempunyai dana besar seperti Real Madrid. 

Seorang lagi bintang yang sedang meningkat naik, Dele Alli, turut dikaitkan dengan gosip perpindahan selepas mempamerkan aksi berkualiti di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kebolehan kedua-dua tonggak Spurs itu telah lama terbukti sejak musim lalu lagi apabila berjaya melonjakkan nama pasukan untuk menjadi salah satu pencabar utama liga selain layak beraksi di Liga Juara-Juara Eropah (UCL). 

Pemain pertahanan, Danny Rose, yang merupakan bekas kapten skuad belia England turut  dikhabarkan diintai Manchester United. Biarpun jarang beraksi dalam kesebelasan utama untuk musim ini, namun kebolehan Rose sudah terbukti apabila muncul antara pemain pertahanan kiri terbaik di England musim lalu. 

Perkembangan itu membimbangkan pihak pengurusan Spurs yang terus memberikan jaminan bahawa jendela perpindahan yang dibuka kali ini hanya akan memperkuatkan pasukan Spurs dan bukan melemahkan. Tatkala kontrak Dele Alli akan tamat tidak lama lagi, mereka sedang berusaha memperbaharuinya selain menawarkan gaji yang tinggi.  

Walaupun pengerusi kelab, Daniel Levy, memberi jaminan tiada pemain akan meninggalkan pasukan Spurs, namun umum pasti tahu kuasa wang dalam bola sepak masa kini.  

Dayang percaya akan ada beberapa tawaran lumayan buat pemain-pemain bintang di Spurs yang tidak mampu ditolak pihak pengurusan andai nilai yang diberikan begitu lumayan dan selaku peminat Manchester United, sudah tentu Dayang gembira andai Danny Rose dapat menyertai Pogba dan rakan-rakan di Old Trafford.

Advertisement

Must Watch Video