Penyerang hoki kontroversi negara, Faizal Saari terpaksa akur tidak dapat bermain dalam baki perlawanan Liga Hoki Malaysia kerana mendapat kecederaan hamstring yang agak serius.
Pemain Terengganu Hockey Team (THT) ini yang dijangka akan dipilih sebagai salah satu daripada 18 pemain untuk ke pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Trinidad dan Tobago pada hujung Mac mungkin akan terlepas peluang beraksi.
Otot di belakang peha terkoyak semasa kemenangan besar THT 6-1 ke atas Tenaga Nasional Berhad.
Faizal yang pernah digantung enam bulan oleh Konfederasi Hoki Malaysia kerana ponteng latihan amat kecewa kerana terpaksa menunggu sehingga sembuh sebelum dapat memberi 100 peratus di atas padang.
Apatah lagi, dia sudah kembali ke tahap fizikal cemerlang untuk menjaringkan lapan gol buat THT.
Terkini, THT di tangga teratas liga dengan tujuh kemenangan dan satu seri.
Jelas pegawai fisio akan menggunakan kaedah rice (rest,ice, compression, elevation) ke atas pemain 26 tahun kelahiran Tterengganu ini dalam mempercepatkan proses penyembuhan secepat mungkin kerana kelibatnya amat penting dalam pasukan THT dan The Malaysian Hockey Tigers.
THT juara LHM dua musim lalu sedikit tempang tanpa Faizal namun pengendalinya Sarjit Singh tidak risau kerana penjaring terbanyak liga, Jang Jung-Hyun dari Korea Selatan dan pemain import baru dari Belanda, Valentin Verga dipertanggung-jawabkan untuk meledak gol bagi pasukan itu menjadi juara treble.
Namun kecederaan yang memerlukan penyerang ini berehat dan menjalani rehabilitasi lebih daripada tiga minggu amat perit untuk pemain yang pernah merangkul pingat perak Sukan Asia 2010 bersama Malaysia yang kini di ranking 13 dunia.
Tanpa Faizal yang cukup berbisa di gawang gol lawan, THT masih dijangka gah di persada LHM untuk kejuaraan musim ini.