Skip to main content

Rencana

Oh Malaysia, tolonglah layak ke Piala Thomas !

piala-thomas-2014.jpg
“Boleh tak kita jangan fikirkan soal itu dahulu, sebaliknya fokus terhadap persiapan kita” ujar Datuk Seri Norza Zakaria dengan tegas dalam mesyuarat Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Khamis lalu , sementara hadirin yang lain tertawa seketika.

Saya hanya mampu tersengih tersipu selepas mengajukan apakah pelan BAM jika skuad kebangsaan tidak melepasi pusingan kelayakan Piala Thomas dan Uber di Alor Setar Februari depan.

Bukan mahu menjadi seorang warga Malaysia yang tidak percaya dengan kemampuan pemain negara, namun persoalan yang saya tujukan itu berasas.

Malaysia bukan lagi dalam zon selesa berdasarkan ranking badminton dunia antara negara-negara. Jika dahulu kita boleh mendabik dada kita adalah antara pencabar selepas China, Denmark dan Indonesia, sekarang harus kita terima hakikat, kita di belakang Jepun, Thailand dan Korea Selatan.

Malaysia tidak pernah terlepas membuat penampilan dalam kejohanan badminton dwitahunan itu sejak tahun 1949. Dan seperti yang dikatakan ramai, peluang Malaysia agak sukar berdasarkan prestasi pemain sedia ada.

Tolak Datuk Lee Chong Wei, tiga lagi pemain yang tersenarai adalah Lee Zii Jia, Soong Joo Ven dan  Iskandar Zulkarnain Zainuddin. Sukar untuk mencongak jika bersandarkan pada ranking, ia bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, namun Datuk Misbun Sidek bertindak sebagai ketua jurulatih perseorangan mempertahankan ini adalah barisan terbaik negara untuk berentap bersandarkan prestasi, komitmen dan dedikasi ditampilkan sepanjang sesi latihan. Saya harus akui perkara tersebut, analoginya jika ada acara latihan dalam sukan badminton, pemain Malaysia sudah pasti boleh memenangi emas.

Dalam pasukan beregu lelaki pula, tiada kejutan memandangkan tiga pasangan utama negara terpilih. Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin dan pasangan muda meningkat naik, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin.

Malaysia perlu mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan berpasukan Asia Februari depan di Alor Setar jika mengidamkan slot automatik ke Piala Thomas yang dijadualkan akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada Mei.

Sesungguhnya saya mengharapkan skuad negara mampu layak ke Piala Thomas, tidak tergamak untuk saya sebagai wartawan menaip tajuk “Mimpi Ngeri Menimpa Badminton Malaysia” andai skuad negara kecundang di Alor Setar.

Advertisement

Must Watch Video