RENCANA
Naikkan gred gaji mereka
Ramai yang mencadangkan agar pemain dan jurulatih hoki negara diberi habuan selepas kejayaan raih tangga keempat Separuh Akhir Liga Dunia sekaligus layak ke Piala Dunia 2018 secara merit.
Ada yang berpendapat, ketua jurulatih negara, Stephen van Huizen patut diberi gelaran Datuk, pemain diberi tanah atau wang ringgit.
Namun, saya melihat daripada perspektif berbeza.
Iklan
Rata-rata jurulatih dan pemain hoki negara mempunyai pekerjaan tetap. Ada yang bekerja dengan Tenaga Nasional Berhad, Universiti Kuala Lumpur, Kementerian Pendidikan Malaysia, Polis Diraja Malaysia atau
kerajaan negeri.
Tidak kurang juga yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi.
Jadi, saya cadangkan gred mereka dinaikkan dan bagi pelajar, majikan boleh bersiap-sedia untuk menawarkan pekerjaan sesuai dengan pengkhususan pengajian.
Saya sempat bertanya kepada penjaga gol negara, S Kumar yang bekerja sebagai pembaca meter TNB. Dia turut dinobatkan Penjaga Gol Terbaik kejohanan.
"Saya lebih memandang ganjaran yang boleh beri jaminan. Wang akan habis, tetapi jika majikan dapat menaikkan gred pekerjaan, saya akan gembira.
"Ini lebih sesuai kerana pemain hoki bukan bermain secara sepenuh masa. Kami mempunyai pekerjaan," katanya.
Ia mengingatkan saya kepada bekas jaguh bina badan negara, Sazali Samad.
Dia bermula sebagai konstabel PDRM pada era 90-an namun atas kejayaannya raih 10 gelaran Mr Universe, dia akhirnya bersara dengan pangkat Inspektor.
Pujian buat PDRM kerana mengambil berat kebajikan atlit negara.
Pendekatan sama patut diambil majikan lain. Golongan ini patut diberi keistimewaan kerana mereka bukan saja berjuang untuk negara tetapi membawa jenama syarikat ke serata dunia.
Orang akan bertanya : Apakah pekerjaan Sukri Mutalib? Dia seorang cikgu.
Apakah pekerjaan Muhammad Razie Abd Rahim. Dia seorang polis.
Apakah pekerjaan Faiz Helmi Jali? Dia seorang penuntut Universiti Malaya.
Bukankah kedua-dua pihak mendapat kebaikan atas usaha dan jasa atlit negara? Jangan kita letakkan semuanya di atas elaun Majlis Sukan Negara dan persatuan sukan kebangsaan yang tidak seberapa.
Adakala tidak setimpal tetapi demi bendera di dada dan peminat sukan Malaysia, mereka gagahkan juga.
Hargai mereka dengan cara yang bijak. Tahniah The Malaysian Hockey Tigers dan selamat pulang ke tanah air.
Must-Watch Video