RENCANA
Misi Aaliyah di Florida?
Peluncur air negara Aaliyah Yoong Hanifah mahu pastikan kedudukan podium dalam kejohanan Dunia Remaja di Florida di sebalik kekangan menjalani latihan akibat penularan wabak koronavirus baru (Covid-19).
Itu hasrat Aaliyah untuk penglibatan terakhirnya dalam Kejohanan Remaja Dunia Ogos depan memandangkan usianya sudah mencecah 17 tahun.
Aaliyah bermula cemerlang bagi aksi tahun 2020 selepas berjaya meraih pingat emas menerusi acara tricks, selain perak acara jump dan overall dalam Kejohanan Remaja Moomba Masters di Australia awal bulan lalu.
Iklan
Namun, Aaliyah menghadapi cabaran berbeza kali ini apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlanjutan menyaksikan dia tidak dapat menjalani latihan untuk tempoh empat minggu, lebih-lebih lagi sukan meluncur mengutamakan penggunaan bot selain tasik untuk program latihan harian.
Aaliyah turut terkesan dengan pembatalan Kejohanan Persahabatan di Indonesia pada bulan lalu dan Kejohanan Masters di Georgia yang sepatutnya menjadi kejohanan pendedahan dan persiapan sebelum menghadapi agenda utamanya, Kejohanan Remaja Dunia.
"Kami terpaksa bekerja keras selepas wabak Covid-19 yang menular ketika ini reda. Ini untuk memastikan podium di dalam tangan, kami tak dapat keluar rumah tak dapat menggunakan bot dan tasik, hanya latihan kecergasan yang ringan dapat dilakukan di rumah", luah Aaliyah.
Berdasarkan pencapaian sebelum ini, Aaliyah antara atlet negara yang selalu menonjol prestasi cemerlang.
Ini membuktikan tidak mustahil buat peluncur muda itu menawan Kejohanan Dunia.
Namun, dia perlu bijak mencari alternatif bagaimana untuk mengekalkan kecergasan dan pencapaian di saat perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.
Must-Watch Video