Skip to main content

Rencana

Klise pun tidak mengapa Liverpool...

coutinho_3.jpg
Liverpool perlu melupakan kisah berkaitan Philippe Coutinho. Seperti melupakan bekas kekasih yang sudah menjalinkan ikatan bersama pasangan baru. Lagi cepat lagi bagus. Biar cerita sang pengganti pula meniti daripada bibir ke bibir.

Sudah pasti itu yang dimahukan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp agar pasukan mereka dilihat tidak terkesan dengan kehilangan pemain dari Brazil itu. Orang dah tak sudi, baik fokus kepada yang masih setia kan.

Ada antara pemain yang mengakui, Liverpool selepas ini pastinya tidak akan sama tanpa sentuhan magis Countinho. Sebagai contoh, Roberto Firmino, yang berkongsi di laman sosialnya betapa dia akan merindui rakan senegaranya itu. Dia juga mendoakan agar Coutinho terus berjaya dan dapat menggapai impiannya di Nou Camp.

Tetapi Liverpool tidak mahu kesedihan itu berpanjangan atau mereka akan kehilangan satu lagi aset pasukan. Lantas penyerang itu dipancing untuk kekal di Anfield sehingga tamat kerjaya ketika kontraknya masih berbaki 2 tahun. Satu tawaran yang cukup berharga kerana apa sahaja yang berlaku, tempat Firmino sudah terjamin. 

Menyentuh tentang tindakan seterusnya, tidak mudah untuk Liverpool melakukan langkah klise dengan bangkit catat kemenangan kerana lawan yang menanti di saingan liga selepas ini adalah pendahulu, Manchester City. Walaupun The Citizens tiada tekanan untuk mempertahankan kedudukan di puncak tetapi dengan rekod kemenangan yang terhenti di angka 19, pengendali City, Pep Guardiola ada ego yang perlu dipertahankan. 

Kehadiran semula Mohamed Salah dan Daniel Sturridge sedikit melegakan peminat setia Liverpool. Mana tidaknya, dengan kecederaan pangkal paha menghantui pemain yang baru dinobat pemain terbaik Afrika dan terlepas dua aksi terakhir liga, 'Mo' Salah masih kekal penjaring terbanyak dengan 23 gol dalam semua saingan.

Ketika Mo Salah perlu menjadi wira, Liverpool lebih baik memastikan aksi pertama tanpa Coutinho ini bawa perkhabaran klise. Biarlah seperti filem cinta yang sering menghadirkan pelangi selepas hujan. Ego dipertahan, mata dapat, misi kekal di kelompok 4 terbaik pun tercapai.

 

Advertisement

Must Watch Video