Skip to main content

Rencana

Kenak susah gilak nak menang?

sarawakab58b30a3d81604aa734ff0000212b38.jpg
Buat rakan-rakan dari Semenanjung Malaysia, maaf seandainya tidak memahami maksud di sebalik tajuk nukilan kali ini… Ia hanyalah luahan kurang puas hati terhadap persembahan pasukan Sarawak sepanjang musim ini.

Kenak susah gilak nak menang - terjemahannya dalam Bahasa Melayu membawa makna “kenapa susah sangat nak menang?”

Apabila Liga Super membuka tirai untuk musim 2017, Sarawak berhadapan tugasan mengunjungi Kedah di sebelah utara negara. Menang ke kalah bila beraksi menentang anak buah Tan Cheng Hoe? Kalah.

Tugasan kedua pula melayani kunjungan Pahang di Stadium Negeri. Perlawanan pertama di laman sendiri….

“Dapat menang tok, rah laman kita bah!”, bisik hati penyokong Sarawak.

“Kelebihan ada pada kita! Laman kita, kita boleh menang!”

Harapan setinggi Gunung Santubong, semangat sederas aliran Sungai Sarawak tapi akhirnya, kekecewaan menyelubungi setiap penyokong - rasa nak bersembunyi dalam Gua Niah pun ada.

Tidak mengapa, kita nak ke utara lagi! Kali ini, kita singgah ke Pulau Pinang.

Mungkinkah magis bakal berlangsung? Adakah ini detik kebangkitan skuad Bujang Senang?

Maka berangkatlah belon (kapal terbang, dalam Bahasa Sarawak) dari Kuching, membawa pasukan kendalian David Usop ke Pulau Pinang dengan niat mahu menebus kekecewaan dua perlawanan pertama yang berakhir dengan kekalahan.

Pulau Pinang juga merupakan pasukan yang agak bergelut musim ini - adakah Sarawak mampu jadikan “masalah” mereka sebagai satu kelebihan? Biar bertandang ke laman orang, bila nampak sahaja peluang untuk dapatkan tiga mata, rebutkanlah!

Dan akhirnya, tertunai juga impian Sarawak meraih tiga mata untuk musim ini. Dua pasukan “bergelut” dalam liga membuat perhitungan, dan kemenangan berpihak pada Sarawak….walaupun hanya satu gol yang berjaya dijaringkan.

“OK lah ya, main dekat tempat orang bah!”, kata peminat, memberi “diskaun” kepada persembahan pasukan yang sebenarnya masih hambar.

Selepas perlawanan menghadapi Pulau Pinang, tumpuan seterusnya ke arah saingan Piala FA. Sarawak lwn. MISC.

Pada awalnya….Sarawak berada di hadapan ketika separuh masa pertama perlawanan ini. Apa lagi, sorakan di Stadium Negeri semakin kuat, komen tentang perlawanan di laman media sosial semakin rancak.

“Iboh lupak, MISC ngalah JDTII minggu lepas”, komen penyokong yang mahu tanamkan kepercayaan bahawa Sarawak masih lagi gagah, sebab itu mampu mendahului perlawanan dengan empat gol di separuh masa pertama. Bukan sebab MISC lawan yang mudah tau! Sebab Sarawak masih kuat!!!!

Dan sangkaan itu akhirnya tertunai jua. Bukan bahagian “Sarawak masih kuat" ataupun "Sarawak masih lagi gagah dan digeruni”, tetapi bahagian “MISC bukan lawan mudah”.

Memang lah bukan lawan yang mudah, Kalau mudah, takkan bolos sampai tiga gol di separuh masa yang kedua, Memang lah menang 6-3. Tapi bolos tiga gol selepas mendahului 4-0 tu apa cerita?

Haih.

Menang tetap menang, semangat tetap semangat. Baiklah. Tugasan seterusnya menanti. Benar, kita masih ada lagi kelebihan beraksi di laman sendiri….tapi laman ini tidak sekebal dahulu. Jadi jangan sesekali pandang mudah pihak lawan, walaupun beraksi di bumi Borneo!

Berhadapan Melaka United.

Malas nak cerita panjang-panjang.

Menang atau kalah?

Kalah,

Jadi berbalik kepada persoalan awal tadi,…susah gilak kah nak menang?

Advertisement

Must Watch Video