Skip to main content

Rencana

Keinginan tinggi bawa kejayaan skuad B-23 negara

214316-u23-malaysia.jpg
Tewas kepada Iraq dengan jaringan besar (4-1) dalam  perlawanan pembukaan Kumpulan C, Kejohanan Piala AFC B- 23 di China tidak melemahkan semangat pemain-pemain skuad B-23 negara untuk terus berjuang dan memberikan komitmen mereka untuk memastikan peluang layak ke peringkat seterusnya terbuka semula. 

Ini dibuktikan dalam perlawanan kedua menentang Jordan. Walaupun lawan mendahului pada awal babak pertama, pemain-pemain muda negara tidak menghiraukan apa yang berlaku.

Sebaliknya, mereka mengekalkan tumpuan dan mengikut perancangan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, selain mengunakan kemahiran individu serta kekuatan semangat berpasukan hingga membolehkan pemain-pemain muda negara bangkit. 

Mereka menutup memori buruk kekalahan pertama itu dengan sekelip mata, seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Sebaliknya, mereka terus memberi tumpuan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 sehingga perlawanan berakhir.

Karakter pemain-pemain muda di bawah kendalian Kim Swee ini semakin menyerlah dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Arab Saudi. 

Walaupun mereka tahu tekanan dalam diri semakin tinggi, mereka berjaya mengawalnya. 

Mereka seolah-olah tidak menghiraukan nama besar Arab Saudi, sebaliknya terus mengekalkan fokus dan disiplin diri hingga membuatkan pemain-pemain muda negara berjaya memberi saingan dan mencipta kemenangan ke atas Arab Saudi.

 Akhirnya, Malaysia layak ke peringkat suku akhir buat kali pertama dalam sejarah Kejohanan Piala AFC B- 23.

Bukan itu sahaja, keharmonian yang wujud dalam pasukan dan hormat antara satu sama lain juga memainkan peranan dalam kejayaan skuad B-23 negara. 

Tidak lupa juga kepada Kim Swee dan rakan-rakan dalam pasukan pengurusannya yang telah berjaya mengawal keadaan di dalam pasukan dengan baik. 

Itulah kelebihan Kim Swee yang berjaya mengawal keharmonian dengan mengunakan pendekatan psikologi untuk memastikan pemain-pemain muda negara terus berjuang demi bendera di dada. 

Tahniah juga kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, yang berjaya merevolusikan bola sepak negara setelah membawa tranformasi minda dan bijak dalam mengawal persepsi sehingga kemeriahan bola sepak negara kembali meningkat. 

Syabas kepada anak-anak muda dalam skuad B-23 negara yang diharap meneruskan disiplin dan komitmen di peringkat suku akhir menentang Korea Selatan nanti untuk terus menjulang nama Malaysia.

Advertisement

Must Watch Video