Skip to main content

Rencana

Juara yang dihormati

juara-yang-dihormati.png
Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 melabuhkan tirai dengan rakyat masih tersenyum mengenangkan kehebatan 844 atlit negara.

Semuanya hebat terutama apabila muncul juara keseluruhan dengan 145 emas 92 perak 86 gangsa, jauh meninggalkan pencabar terdekat, Thailand.

Ada pelbagai jenis juara, adakah Malaysia juara di hati rakyat atau juara yang dihormati?

Di mata rakyat, Sukan Sea 2017 yang terbaik berbanding ketika Malaysia menganjurkan lima edisi lalu. Tidak kira daripada segi penganjuran, venue atau pencapaian kontinjen negara - semua indah belaka.

Namun, ada juga rungutan yang diangkat media asing.

Thailand contohnya, tidak gembira dengan pemilihan acara apabila Malaysia 'tidak berkompromi' mengenai acara yang beri kelebihan kepada atlit asing.

Contohnya dalam angkat berat wanita.

Thailand memiliki dua pemenang pingat emas angkat berat Sukan Olimpik, Sopita Tanasan dan Sukanya Srisurat namun berputih mata ke Kuala Lumpur apabila hanya acara lelaki dipertandingkan.

Malangnya, pemenang emas Olimpik Rio yang lain seperti Joseph Schooling (renang Singapura) dan Hoang Xuan Vinh (menembak Vietnam) tampil mengibar cabaran negara mereka sekali gus jadi tarikan temasya.

"Sukan Sea paling teruk," laporan sebuah akhbar Thailand.

Itu belum dicampur dengan keputusan setiap acara menerusi aplikasi atas talian yang sepatutnya memudahkan semua pihak.

Sebuah syarikat yang dilantik bergelut untuk memenuhi permintaan peringkat Asia Tenggara hingga ia jadi bahan ejekan media luar negara.

"Teknologi maklumat Malaysia jauh ketinggalan berbanding Singapura," kata kumpulan wartawan asing ketika saya buat liputan memanah.

Panas juga telinga kerana mereka menjatuhkan hukum hanya berdasarkan kelemahan syarikat yang dilantik Jawatankuasa Penganjuran Sukan Sea (Masoc).

Realitinya, situasi rumah siap pahat berbunyi memang sesuatu yang normal. Bukan mudah memuaskan hati semua orang kerana Malaysia juga banyak rungutan ketika negara lain jadi penganjur.

Lebih baik kita pandang ke depan.

Sukan Komanwel Gold Coast, Australia hanya berbaki 8 bulan saja lagi dan ia jauh lebih mencabar berbanding Sukan Sea.

Kita jaguh Sukan Sea, adakah kita juga jaguh Komanwel?

Advertisement

Must Watch Video